utama

Buntu nak lunaskan yuran pengajian

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PERLU melunaskan yuran tahun akhir atau berdepan dengan kenaikan 50 peratus dari jumlah tunggakan sebelum dibenarkan menamatkan pengajian dan konvokesyen.

Itu dilema yang dihadapi penuntut Ijazah Perubatan dan Pembedahan Universiti Zagaziq, di Mesir, Mohammad Nor Anuar Razali, 25, apabila pihak universiti memintanya menjelaskan tunggakan yuran tahun akhir sebelum 31 Disember ini.

Kisah Mohammad Nor Anuar pernah disiarkan portal Harian Metro pada 20 September lalu dan hasil dana yang diperoleh daripada sumbangan orang ramai membolehkan beliau menjelaskan yuran tahun kedua hingga kelima.

Namun, tiga hari lalu, perkhabaran duka diterima apabila pihak akademik universiti meminta tunggakan yuran pengajian tahun akhir dijelaskan hujung bulan ini yang berjumlah RM32,000.

Mohammad Nor Anuar berkata, jika dia gagal menjelaskan yuran hujung bulan ini, pihak universiti akan menaikkan 50 peratus daripada jumlah tunggakan.

Katanya, situasi itu sudah pasti menghimpit dia dan keluarga untuk menyelesaikan tunggakan yuran itu.

“Dengan bantuan Harian Metro sebelum ini, saya menerima sumbangan dana daripada orang awam dan berjaya menjelaskan yuran tertunggak untuk tahun kedua hingga lima.

“Perkhabaran terbaru ini mengejutkan saya kerana masih berusaha mengumpul dana bagi melunaskan bayaran tahun akhir pengajian.

“Tidak sangka perlu jelas secepat ini malah lebih mengejutkan mereka akan menaikkan 50 peratus daripada jumlah tunggakan,” katanya

yang berada di Zagaziq, Mesir, ketika dihubungi, hari ini.

Mohammad Nor Anuar berkata, dia sudah merujuk masalah ini kepada persatuan penuntut Malaysia di universiti berkenaan bagi mendapatkan bantuan daripada Kedutaan Malaysia di Mesir bagi berunding dengan universiti.

Katanya, setakat ini, universiti memaklumkan tindakan menaikkan jumlah bayaran disebabkan ada beberapa penuntut Malaysia yang berhenti daripada pengajian ketika berlaku kekacauan di Mesir beberapa tahun lalu.

“Dalam masa sama saya juga berusaha berhubung dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia untuk mendapatkan bantuan namun masih belum menerima sebarang respons.

“Saya begitu berharap agar rakyat Malaysia dapat membantu kerana buntu mendapatkan bantuan kewangan memandangkan bapa sudah bersara, manakala ibu hanya suri rumah,” katanya.

Berita berkaitan

Mana nak cari RM160,000?

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 6:33pm
d