utama

Ibu tunggal didakwa bunuh anak [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

SEORANG ibu tunggal didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, kerana membunuh anak kandungnya yang berusia dua tahun 10 bulan, antara 5 hingga 11 Januari lalu.

Tertuduh, Nurul Shamira Mazlan, 22, yang berbaju kurung merah hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Nurul Shamira yang tidak bekerja itu dituduh membunuh dengan menyebabkan kematian Nur Shahana Abdus Quddus, di sebuah apartmen di Taman Kempas Indah, sekitar 11 pagi hingga 12 tengah hari, antara 5 hingga 11 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Benedict Choong Kai Qi, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Norazihan Adnan, Muhammad Ashraff Mohd Diah dan Jack Sumatra.

Terdahulu, tertuduh dilihat beberapa kali mengesat air matanya ketika duduk di tepi kandang tertuduh.

Sementara itu, peguam tertuduh, Muhammad Ashraff memaklumkan teman lelaki tertuduh yang berusia 33 tahun dilepaskan dengan jaminan mahkamah dan akan dipanggil untuk menjadi saksi dalam kes berkenaan.

Majistret menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan kedua kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Harian Metro pada 13 Januari lalu melaporkan, kanak-kanak yang didera itu meninggal dunia 12.10 tengah hari ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, akibat jangkitan kuman.

Doktor yang merawat kanak-kanak itu mengesyaki ada unsur penderaan berdasarkan kecederaan fizikal dialami mangsa dengan kesan lebam serta gigitan pada tangan dan perut.

Berita berkaitan

Budak dua tahun mati didera ibu

Mangsa dera dipukul hingga koma

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 12:07pm
d