utama

267,054 penumpang bebas virus

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

SERAMAI 267,054 penumpang termasuk kru penerbangan sudah disaring melalui kaunter imbasan terma di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, penumpang berkenaan disaring daripada 2,494 penerbangan yang mendarat di KLIA antara 15 hingga 20 Januari lalu.

Katanya, daripada jumlah berkenaan sebanyak 61 penumpang perlu menjalani saringan kedua kerana mempunyai suhu badan yang tinggi dan tanda-tanda tidak sihat.

“Setiap penumpang yang melalui kaunter itu, kita akan saring dan sekiranya ada petanda tidak sihat mereka akan diasingkan. Pegawai yang bertugas akan membawa penumpang berkenaan ke bilik saringan kedua bagi melakukan pengesahan status kesihatan mereka.

“Selepas disaring, sekiranya tidak mempunyai sebarang petanda Koronavirus atau penyakit lain, kita akan melepaskan mereka. Sekiranya ada, mereka akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk dikuarantin.

“Bagi 61 penumpang yang disaring untuk kali kedua itu, ternyata mereka hanya mempunyai suhu badan yang tinggi dan mengalami demam biasa serta tidak mempunyai petanda mengalami virus Coronavirus (2019 n-CoV) ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke kaunter imbasan terma KLIA, di sini, semalam.

Lee berkata, kementerian membuat saringan yang ketat selepas menerima laporan mengenai penularan wabak baharu yang dikenali sebagai 2019 n-CoV.

“Kita adakan saringan ini sejak 31 Disember lalu selepas mendapat laporan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa wabak berkenaan boleh menular melalui manusia ke manusia.

“Disebabkan virus berkenaan boleh dibawa manusia, kita memperketatkan saringan setiap pelancong yang masuk ke negara ini kerana sekiranya tidak dikawal, ia akan menjejaskan komuniti di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Lee meminta rakyat Malaysia yang baru pulang dari China dan mengalami gejala seperti seperti demam, selesema dan mempunyai tanda radang paru-paru dalam tempoh 14 hari untuk membuat pemeriksaan kesihatan di klinik berdekatan.

“Sekiranya ada jangkitan virus berkenaan kita akan kuarantin, tetapi setakat ini tiada kes dilaporkan,” katanya.

Sebelum ini, pihak berkuasa China melaporkan, wabak Coronavirus yang bermula di Wuhan kini merebak ke kawasan lain termasuk Beijing dan Shanghai.

Pihak berkuasa mengesahkan sejumlah 217 kes baharu virus itu di China dengan empat kematian dilaporkan. Daripada jumlah berkenaan sebanyak 198 kes dilaporkan berlaku di Wuhan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 8:01am
    d