utama

'Kenapa tikam Hafiya?'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

“SAYA tidak tahu punca mengapa dia (adik ipar) tergamak menikam anak saudara saya kerana ketika kejadian kami berada di tempat kerja,” kata Mohd Afandi Ibrahim, 34.

Mohd Afandi adalah penjaga kanak-kanak perempuan, Nur Hafiya Aufa Mohd Taquddin, 3, yang maut ditikam bapa saudara di Felda Cherul 2, Kemaman, Terengganu, hari ini.

Menurutnya, dia menerima panggilan daripada isterinya memaklumkan Nur Hafiya ditikam ketika berada di rumah mentuanya di Felda Cerul 2.

“Saya dan isteri (Noradila Ramli) menjaga Nur Hafiya sejak ibu meninggal dunia Ramadan lalu akibat kemalangan sementara bapanya pula bekerja di Johor.

“Jadi, kami berdua yang membantu menjaganya yang mana sebelah siang, dia bersama datuk dan neneknya sebelum isteri akan mengambilnya jam 6 petang selepas pulang dari tempat kerja,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, adik iparnya yang menikam kanak-kanak itu sebelum ini tidak tinggal bersama keluarga mentuanya dan baru saja pulang ke kampung sejak empat bulan lalu.

Kejadian berlaku pada jam 1 tengah hari menyebabkan mangsa berusia tiga tahun maut serta-merta.

Difahamkan, dia ditikam di dada oleh lelaki berusia 26 tahun itu menggunakan pisau pemotong sayur berukuran 10 sentimeter.

Suspek dipercayai penagih dadah dan menghidap masalah mental.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat dijangka hari ini.

Berita berkaitan

Kanak-kanak 3 tahun dibunuh bapa saudara

Disiarkan pada: January 27, 2020 @ 8:15pm
d