utama

Viral palsu bikin gundah

Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

PENULARAN berita palsu berhubung wabak koronavirus baharu menimbulkan kegusaran dan panik berikutan orang ramai sibuk mahu menjadi ‘pakar’.

Bukan saja pihak berkuasa perlu menyelesaikan isu wabak tetapi perlu menepis berita palsu disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Cabaran ini diakui sendiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang mengakui penularan berita palsu mengenai wabak itu dilihat kritikal.

“Penularan berita palsu menjadi cabaran yang perlu ditangani kami dalam usaha mengendalikan penularan wabak 2019-nCoV di negara ini.

“Masalah viral juga memeningkan, selain masalah virus ini. Rakyat diminta tidak mudah terpengaruh dan menyebarkan laporan berita palsu yang boleh menimbulkan ketakutan serta kebimbangan kepada orang ramai,” katanya.

Hasilnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenal pasti empat individu bagi membantu siasatan penyebaran berita palsu berhubung koronavirus baharu.

Menurut kenyataan bersama PDRM dan SKMM, media sosial dan pesanan dalam talian dijadikan platform utama bagi penularan berita palsu berkenaan.

“Polis dan SKMM memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita tidak sahih mengenai penularan koronavirus baharu,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, berikutan itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyenaraikan berita palsu yang tular di media sosial berhubung kes koronavirus baru.

“Ini penting bagi memastikan rakyat tidak terpedaya dengan dakwaan itu, sekali gus mencetuskan kebimbangan,” katanya.

Pendapat sama turut dikongsi Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang menegaskan supaya orang ramai memeriksa kebenaran maklumat mengenai koronavirus baharu sebelum berkongsi maklumat itu.

“Sila periksa maklumat yang anda terima sebelum berkongsi kerana dua atau tiga hari yang lalu, banyak catatan yang dikongsi kemudian didapati tidak benar dan palsu. Ia telah menyebabkan banyak masalah.” katanya.

Gobind berkata, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Dr Dzulkefly dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilantik sebagai jurucakap rasmi berhubung wabak itu.

Kementerian Kesihatan akan menyediakan maklumat terkini mengenai virus itu dari semasa ke semasa, melepaskan maklumat menerusi halaman rasmi Facebook dan Twitter, serta sidang akhbar.

Kelmarin, dalam sidang akhbarnya, Wan Azizah mahu kerjasama semua rakyat Malaysia supaya tidak menyebarkan berita palsu untuk menakut-nakutkan orang ramai.

“Jangan tular berita palsu, menakutkan dengan memberi gambaran kita dalam keadaan panik, adalah penting untuk menjaga satu sama lain,” katanya.

Malah katanya, status virus koronavirus di negara ini masih dalam keadaan terkawal tanpa perlu mencetuskan suasana panik.

Beliau turut meminta orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang tepat daripada pihak KKM dan agensi kerajaan yang berkaitan dan semua pihak dinasihatkan agar tidak menimbulkan keadaan tidak tenteram dengan menyebarkan fitnah atau maklumat yang tidak pasti.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 7:01am
    d