utama

Bawa pulang 78 rakyat kita di Wuhan - PM [METROTV]

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KERAJAAN akan berunding dengan China bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Wuhan, Hubei secepat mungkin.

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berkata, keputusan berkenaan dibuat hari ini dan Menteri Luar akan berunding dengan kerajaan China bagi tujuan itu.

Beliau berkata, didapati 78 rakyat Malaysia yang berada di Wuhan ketika ini dan ada antara mereka kekurangan makanan yang hanya mampu bertahan untuk empat hari.

“Kalau kita terpaksa hantar kapal terbang untuk bawa balik rakyat kita, kita akan buat sedemikian jika kerajaan China memberi kebenaran.

“Kita akan hantar bekalan makanan, penutup mulut dan sarung tangan kerana di sana kekurangan bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas mengenai perkembangan terkini wabak koronavirus baharu di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia yang akan dibawa pulang itu nanti akan menjalani pemeriksaan kesihatan dan dikuarantin sebelum mereka dibenarkan pulang ke Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah pesakit positif koronavirus baharu di Malaysia pada masa ini seramai tujuh orang.

“Kita mengumumkan Malaysia tidak akan membenarkan pelawat dari Wuhan, Hubei masuk ke negara ini sama ada mereka sakit atau tidak.

“Namun, pelawat lain dari China dibenarkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 2:07pm
    d