utama

Rakyat Malaysia terperangkap di Hubei bebas koronavirus

Oleh Zanariah Abd Mutalib

KERAJAAN menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi Misi Bantuan Kemanusiaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di wilayah Hubei, China, susulan penularan wabak koronavirus (2019-NCoV) di negara itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata jawatankuasa itu diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan, selain membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan syarikat penerbangan AirAsia serta Malaysia Airlines.

Dzulkefly berkata, Kementerian Luar kini sedang mengumpul jumlah sebenar rakyat Malaysia yang akan dibawa balik dari wilayah itu.

Katanya, satu jawatankuasa teknikal turut diwujudkan di bawah jawatankuasa khas itu bagi memperincikan pengurusan membawa balik rakyat Malaysia termasuk atur gerak misi bantuan berkenaan.

"Pihak Kementerian Luar masih meneruskan perbincangan dengan pihak kerajaan China untuk urusan bantuan itu.

"Kita akan diberitahu bila langkah itu akan dilaksanakan, termasuk jumlah sebenar rakyat dan perincian lain yang sedang diuruskan. Setakat ini, tiada antara mereka yang dilaporkan dijangkiti wabak itu," katanya pada sidang media mengenai situasi terkini 2019-nCoV di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan sedia membawa pulang 78 rakyat Malaysia yang berada di Wuhan dengan segera.

Selain itu, Dzulkefly berkata, bagi memantapkan lagi aktiviti pengesanan kes yang disyaki, kementeriannya bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi mengenal pasti pelajar atau pensyarah yang pulang bercuti dari China.

"Mereka yang dikenal pasti akan diletakkan di bawah pemantauan rumah dan diberikan Kad Amaran Kesihatan dan kelengkapan penilaian rumah. Jika menunjukkan gejala, mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan yang dikenal pasti segera," katanya.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya sedang dalam proses memperluaskan saringan suhu badan kepada semua pengembara di pintu masuk negara selepas mendapat tambahan 25 pengimbas suhu badan, dan tidak hanya fokus kepada pengembara dari China saja.

Ditanya mengenai kes membabitkan seorang wanita warga China yang menjaga anaknya di wad isolasi Hospital Sungai Buloh, yang sebelum ini negatif namun dilaporkan positif 2019-nCoV, semalam, Dzulkefly berkata, gejala virus itu boleh berlaku dalam tempoh 14 hari.

Katanya, setakat ini, jumlah kes 2019-nCoV adalah lapan kes dan semuanya membabitkan warga China.

"Jumlah kumulatif kes Pengesanan Kes Disyaki (PUI) sejak 10 Januari lalu sehingga 12 tengah hari tadi adalah 94 orang termasuk 48 warga Malaysia, 43 warga China dan masing-masing satu warga Jordan, Brazil dan Thailand," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 5:28pm
    d