utama

Sukarelawan Malaysia bangunkan CoronaTracker

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

WABAK koronavirus baharu (2019-nCov) yang berlaku di Wuhan, China sehingga mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa mencetuskan idea kepada sekumpulan saintis data Malaysia mewujudkan laman sesawang, CoronaTracker.

Laman sesawang itu (klik di sini) dibangunkan sukarelawan dari Malaysia dengan kerjasama dari beberapa negara bagi membantu orang ramai mendapat maklumat tepat berkaitan virus itu.

Ketua Saintis Data CoronaTracker, Hafeez Nazri berkata, laman sesawang itu dihasilkan bersama pengasasnya, Dr Cher Han Lau pada 25 Januari sebelum dilancarkan secara rasmi Isnin lalu.

Menurutnya, ia bermula selepas mereka melihat platform sama yang dibuat John Hopkins University (JHU), namun apa yang dipaparkan di dalam itu terlalu umum dan tidak merangkumi maklumat tepat seperti jumlah kematian serta sebagainya.

“Daripada situ kami terlintas untuk membuat platform sama dan mengajak orang ramai menggunakan laman sosial Facebook (FB) untuk menjadi sukarelawan dalam projek ini.

“Bermula dengan sekitar 20 orang, namun sehingga kini seramai 600 orang dari seluruh dunia sudah menjadi sukarelawan bekerjasama menghasilkan analisis dan model-model berkaitan virus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hafeez berkata, antara negara yang bekerjasama dengan pihaknya seperti Perancis, Belanda, Singapura, Indonesia, Vietnam, Taiwan dan India.

“Mereka ini terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan seperti doktor, data saintis, perhubungan awam, teknologi maklumat dan sebagainya.

“Tujuannya untuk mengumpul data dari pelbagai sumber bagi saintis data dan penganalisis menganalisis data itu,” katanya.

Malah, Hafeez berkata, ia memudahkan orang ramai untuk mendapat maklumat yang sahih dan terkini berkaitan virus itu dan mengelak penyebaran berita palsu.

“Orang ramai juga akan dapat melihat statistik berkaitan virus itu yang disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan JHU.

“Kita turut membuat perbandingan dengan virus yang terdahulu seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) bagi orang ramai mendapat maklumat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 10:14pm
    d