utama

Sudah kenal pasti kakak mengamuk

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS sudah mengenal pasti identiti wanita yang memaki hamun, menolak dan meludah penguat kuasa tempatan dan orang awam di Jalan 1A/3, Fasa 1, Bandar Baru Sungai Buloh, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan dibuat pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung kejadian itu malam tadi.

“Dalam kejadian 12.12 tengah hari itu, anggota terbabit bersama rakan setugasnya membuat rondaan di sepanjang jalan berkenaan dan mereka mendapati ada kereta Nissan Almera diletakkan berhampiran pembahagi jalan sebelum mengenakan kompaun.

“Bagaimanapun, rondaan berterusan mendapati kenderaan itu masih berada di situ dan tidak dialihkan. Anggota kemudian bertindak menunda.

“Ketika proses menunda itu, pemilik kereta iaitu seorang wanita datang ke arah anggota, lalu bertindak agresif dengan memaki hamun, menolak dan meludahnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shafa’aton berkata, orang awam yang cuba mententeramkan wanita itu juga diludah dan dikasari selain dia didakwa mengugut penguat kuasa untuk lebih agresif jika tidak melepaskan kenderaannya.

Berikutan itu, katanya, penguat kuasa melepaskan kenderaan wanita itu dan membuat laporan.

“Identiti wanita itu sudah dikenal pasti dan tangkapan akan dibuat untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan wanita berkenaan ‘mengamuk’ dengan meludah, menjerit dan memukul anggota penguat kuasa MBSA dan operator tunda kereta di Bandar Baru Sungai Buloh, semalam.

Rakaman kejadian itu turut turut di media sosial.

Berita berkaitan:

  • Astaghfirullahalazim bawa mengucap kak [METROTV]
  • Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 4:15pm
    d