utama

Seorang lagi positif koronavirus baharu [METROTV]

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

PERTAMBAHAN satu kes positif terbaru hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes koronavirus baharu (2019-nCoV) sebanyak 16 kes membabitkan empat rakyat Malaysia dan 12 warganegara China.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kes terbaru itu membabitkan seorang pelancong China berumur 67 tahun iaitu ibu kepada kawan kes warganegara China yang dilaporkan positif pada 6 Februari 2020 (kes positif ke-14).

“Mengambil kira kes terbaru ini adalah kontak rapat kepada kes terbabit, beliau diarahkan untuk tidak ke mana-mana bagi menjalani Perintah Pengawasan dan Pemantauan.

“Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV dibuat dan dilaporkan positif pada 7 Februari 2020.

“Beliau kini dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Kuala Lumpur dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi terkini jangkitan 2019-nCoV dan pengesanan kes baharu di Malaysia di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Wan Azizah berkata, satu kes iaitu kes ke-6, telah discaj dari Hospital Langkawi pada 4 Februari lalu setelah dua ujian ulangan pengesanan jangkitan 2019-nCoV adalah negatif.

Beliau berkata, satu kes iaitu kes ke-4 sedang menunggu keputusan ujian ulangan ketiga apabila ujian pertama dan kedua adalah negatif.

Menurutnya, kes berkenaan menerima rawatan menggunakan ubat antiretroviral iaitu ubat digunakan untuk merawat pesakit yang dijangkiti oleh human immunodeficiency virus (HIV).

“Selain itu, enam kes iaitu kes pertama, ke-3, ke-5, ke-7, ke-8 dan ke-10 telah menjalani ujian ulangan pertama pengesanan jangkitan 2019-nCoV didapati negatif.

“Empat kes lagi iaitu kes ke-2, ke-14, ke-15, dan ke-16 masih dirawat di wad sehingga ujian ulangan adalah negatif sebanyak dua kali.

“Semua kes berada dalam keadaan stabil. Daripada 12 warganegara China itu, empat daripadanya (kes pertama, ke-2, ke-3, dan ke-5) adalah ahli keluarga kepada kes positif pertama di Singapura dan mereka kini sedang mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Wan Azizah berkata, tiga daripadanya (kes pertama, ke-3, dan ke-5) sudah menjalani ujian ulangan pertama pengesanan jangkitan 2019-nCoV dan didapati negatif.

Beliau berkata, seorang lagi (kes ke-2) masih dirawat sehingga ujian ulangan negatif diperoleh.

“Bagi empat warganegara Malaysia yang dikesan positif jangkitan 2019-nCoV, ujian ulangan akan dilakukan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sejak 10 Januari sehingga 8 Februari 2020, jumlah kumulatif kes PUI jangkitan 2019-nCoV adalah 336 orang membabitkan 213 warganegara Malaysia, 115 warga China dan masing-masing satu warganegara Australia, Bangladesh, Brazil, Indonesia, Jordan, Kanada, Korea dan Thailand.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 5:01pm
    d