utama

Lima lagi dijangkiti

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

LIMA lagi individu dikesan positif dijangkiti virus Covid-19 semalam dan kesemua mereka dikenal pasti kontak rapat kepada individu dijangkiti ke-26.

Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini, kontak rapat bagi kes ke-26 yang disahkan positif Covid-19 adalah seramai 26 individu.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia sehingga 12 tengah hari semalam adalah sebanyak 55 kes.

“Daripada jumlah ini, seramai 22 pesakit sudah sembuh dan dibenarkan pulang. Semua kes baharu ini berhubung kait dengan satu kluster Covid-19 yang dikenal pasti sebelum ini iaitu individu daripada kes ke-26.

“Siasatan dan pengesanan kontak bagi kluster berkenaan masih diteruskan,” katanya, semalam.

Kelmarin beliau memaklumkan Malaysia sedang memasuki gelombang kedua Covid-19 dan ia bermula dengan kes ke-26 yang kebanyakan kes jangkitan tempatan dan dalam kalangan rakyat tempatan.

Beliau kelmarin mengesahkan 14 lagi kes baharu positif Covid-19 menjadikan keseluruhan kes sebanyak 50 dikesan Rabu lalu.

Menurutnya, satu Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Penyakit Coronavirus (Covid-19) 2020 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara diadakan bersama pelbagai agensi berkaitan di Putrajaya semalam.

“Untuk mengelak keadaan panik di pejabat apabila terdapat kes positif atau disyaki dalam kalangan anggota agensi.

“KKM menasihatkan kepada organisasi yang dikesan mempunyai kes positif Covid-19 supaya tidak perlu membuat penutupan pejabat namun memadai menjalankan pembersihan dan nyahkuman dengan kerap di kawasan yang selalu disentuh.

“Anggota yang dikenal pasti sebagai kontak rapat oleh KKM akan dibuat saringan kesihatan. KKM berharap mereka yang dikenal pasti dapat bertenang dan sentiasa bekerjasama dengan memberi maklumat yang tepat apabila dihubungi atau dikenal pasti sebagai kontak rapat.

“Pada masa yang sama, semua pihak diminta tidak menularkan sebarang maklumat yang boleh menyebabkan kebimbangan kepada orang awam,” katanya.

Sekat pelawat dari tiga negara ‘panas’

Kerajaan memutuskan untuk menyekat sementara semua pelawat tanpa mengira warganegara yang berkunjung ke tiga negara ‘panas’ berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara bandar dan negara yang disekat membabitkan Jepun (Hokkaido), Itali (Lombardy, Veneto dan Emilia-Romagna) serta Iran (Teheran, Qom dan Gilan).

Katanya, sekatan itu termaktub kepada pelawat yang mempunyai sejarah perjalanan ke bandar dan negara berkenaan dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan di Malaysia.

“Mengambil kira status semasa penularan wabak Covid-19 yang kini memasuki gelombang kedua, kerajaan memutuskan supaya rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke bandar berkenaan.

“Bagi rakyat Malaysia yang sudah berada di bandar atau wilayah berkenaan, mereka dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti meningkatkan penjagaan kesihatan diri dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, maklumat mengenai Kedutaan Malaysia di luar negara boleh dirujuk di laman web Kementerian Luar Negeri di www.kln.gov.my.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 6, 2020 @ 7:01am
    d