utama

Berebut tisu

Oleh Agensi

SYDNEY: Gara-gara berebut tisu tandas, dua wanita didakwa atas kesalahan bergaduh dan menimbulkan kekecohan di pasar raya.

Daily Star melaporkan, kedua-dua wanita berusia 23 dan 60 tahun dari Bankstown itu diberikan notis untuk hadir ke mahkamah pada 28 April depan bagi berdepan pertuduhan atas kesalahan yang dilakukan.

Insiden itu dilaporkan berlaku jam 7 pagi di pasar raya Chullora Woolworths yang terletak di barat daya, bandar ini.

Menerusi rakaman video yang tersebar, dua wanita bergaduh, tolak menolak dan menjerit terhadap satu sama lain kerana berebutkan tisu tandas.

Seorang turut bertindak agresif dengan menarik rambut namun, pergaduhan itu dileraikan kakitangan pasar raya selepas mendengar jeritan mereka.

Pergaduhan itu dipercayai berpunca kerana masing-masing mahu membeli tisu tandas yang dikhuatiri kehabisan stok selepas penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, polis sudah memberi amaran awal kepada orang awam untuk tidak panik dengan situasi semasa.

“Kita meminta orang awam supaya bertenang dan tidak panik ketika membeli-belah.

“Ini kerana tiada keperluan untuk panik memandangkan bekalan barangan di pasaran masih mencukupi.

“Jadi, kita tidak berkompromi dalam hal ini dan sesiapa yang terbabit dalam pergaduhan akan didakwa di mahkamah,” kata Polis New South Wales, Andrew New.

Sehingga kini, Australia mencatatkan 77 kes Covid-19 dengan tiga jumlah kematian dan ia menimbulkan kebimbangan hingga terjadinya pembelian panik terhadap barangan keperluan termasuk tisu tandas.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 6:30am
    d