utama

Semua perhimpunan ditangguh sehingga 30 April [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KERAJAAN memutuskan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April berikutan penularan wabak Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu akan diteliti semula sekiranya situasi Covid-19 bertambah baik.

Selain itu, beliau berkata, antara langkah diambil untuk mengekang penularan Covid-19 ialah sekatan perjalanan.

“Kerajaan akan meneruskan sekatan perjalanan untuk tiga wilayah di China iaitu Hubei, Jiangsu dan Zhejiang; Hokkaido, Jepun; Itali, Iran dan Republik Korea. Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak melakukan perjalanan ke negara-negara yang terjejas dengan virus Covid-19,” katanya melalui Perutusan Khas Perdana Menteri berkaitan penularan jangkitan penyakit coronavirus 2019 (Covid-19) di Malaysia, malam tadi.

Beliau berkata, kerajaan menganggarkan kerugian keseluruhan dalam sektor pelancongan mulai Januari hingga Februari 2020 adalah sebanyak RM3.37 bilion.

Muhyiddin berkata, banyak pakej pelancongan dibatalkan dan ini menjejaskan mereka yang bekerja dengan syarikat penerbangan dan perhotelan.

Menurutnya, kerajaan menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menurun sebanyak 0.8 peratus hingga 1.2 peratus, iaitu penurunan sebanyak RM10.8 billion hingga RM17.3 billion.

"Dari segi ekonomi, sektor yang paling teruk terjejas ialah pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana, dan industri pengangkutan.

"Saya sedar bahawa langkah-langkah segera perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesan wabak ini kepada ekonomi negara, khususnya kepada rakyat," katanya. Muhyiddin berkata, kerajaan akan memastikan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan akan dipantau pelaksanaannya supaya kesannya akan dapat dirasai dengan segera.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 9:14pm
    d