utama

Beriktikaf lepas sihat

Oleh Abdul Rahemang Taiming

AHLI tabligh yang menghadiri perhimpunan ijtimak di Masjid Sri Petaling di Selangor, akhir Februari lalu ditegah ke masjid, solat berjemaah di masjid dan menghadiri solat Jumaat sehingga disahkan sihat.

Arahan yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS) Daerah Tawau semalam juga menggesa mereka yang mengalami tanda awal jangkitan Covid-19 supaya tidak beriktikaf dan tinggal di mana-mana masjid ataupun surau.

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Tawau, Kahar Sundu berkata, arahan itu dibuat untuk mengelak wabak Covid-19 yang boleh memudaratkan orang lain dan sebagai langkah pencegahan penularan wabak itu.

Beliau berkata, pihaknya mengambil pendekatan kaedah Fiqh iaitu kemudaratan perlu dihilangkan dengfan menjauhkan diri dari tempat yang akan memberi kemudaratan kepada jemaah yang lain.

“Begitu juga kias kepada larangan Nabi Muhammad SAW daripada menghadiri solat jemaah bagi orang yang memakan bawang putih dan bawang kerana boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada jemaah.

“Jika makanan yang berbau pun Nabi larang untuk menyertai solat berjemaah, apatah lagi mereka yang dijangkiti virus ataupun yang disyaki menghadapi virus berkenaan” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau memohon kepada semua masyarakat Islam agar memberi kerjasama dan berlapang dada, bersabar serta reda terhadap ujian Allah SWT ini.

“Kami mengharapkan umat Islam mematuhi semua arahan yang dikeluarkan dari masa ke semasa oleh JHEINS bagi menjaga kemaslahatan kepada semua masyarakat di negeri ini khususnya daerah Tawau dan Kalabakan,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan tidak mematuhi arahan kuarantin bagi individu yang disyaki jangkitan Covid-19 boleh diambil tindakan di Bawah Seksyen 14 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Ia memperuntukkan kuasa kepada mana-mana pegawai yang diberi kuasa untuk memerintahkan atau menjalani pengasingan di Stesen Kuarantin yang ditetapkan bergantung kepada keperluan epidemiologi penyakit itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 14, 2020 @ 6:40am
    d