utama

Covid-19: Tiada perintah 'lockdown' - Dr Adham

Oleh BERNAMA

KEMENTERIAN Kesihatan menafikan mesej tular di media sosial mendakwa Malaysia akan dikenakan perintah sekatan pergerakan masuk dan keluar (lockdown) hari ini berikutan penularan koronavirus baharu (Covid-19).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, menerusi hantaran di Facebook rasminya berkata, penyebaran infografik mengenai ‘lockdown’ di negara ini hari ini, 16 Mac (Isnin), adalah palsu.

“Tiada sebarang perintah ‘lockdown’ buat masa ini. Mohon hentikan penyebaran khabar palsu seperti ini,” katanya.

Sejak petang semalam, tular satu infografik yang dikongsi netizen melalui Facebook dan WhatsApp dengan tanda pagar #Malaysialockdown hari ini, bermula 8 hingga 10 malam.

Infografik itu juga menyebut Covid-19 Hour dengan mengandungi beberapa larangan iaitu jangan keluar dari rumah, jangan keluar ke tempat awam seperti pasar raya dan restoran serta sembahyang dan berdoa.

Ia juga menyuruh rakyat Malaysia supaya berada di kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, dalam hantaran yang sama, Dr Adham menggesa rakyat Malaysia mematuhi nasihat kesihatan dan penjarakan sosial satu meter yang diberikan dari semasa ke semasa oleh Kementerian Kesihatan.

Sebanyak 190 kes baharu dilaporkan positif Covid-19 setakat 12 tengah hari semalam menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 428 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 12:20am
    d