utama

'Kami reda bapa positif Covid-19'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

“KAMI sekeluarga reda apabila dimaklumkan bapa positif Covid-19 namun yakin dengan kemampuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memulihkan pesakit yang dijangkiti virus berkenaan selain berserah kepada Allah SWT,” kata Mustaqim Zakaria, 36.

Bapa Mustaqim, Zakaria Ishak, 62, seorang daripada peserta Perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling yang disahkan positif virus berkenaan selepas hadir menjalani pemeriksaan kesihatan
di Hospital Miri, Sarawak, minggu lalu.

Menurutnya, sebaik selesai menghadiri perhimpunan itu, bapanya tidak pulang ke rumah sebaliknya terus ke Miri untuk keluar berdakwah bersama cucu dan 10 rakan tabligh selama 40 hari.

“Sudah menjadi rutin bapa keluar berdakwah dan aktif dalam aktiviti tabligh sejak bersara.

“Namun perhimpunan ijtimak kali ini adalah yang pertama dihadiri bapa sejak beberapa tahun lalu.

“Sebaik dimaklumkan mengenai peserta perhimpunan yang positif Covid-19, bapa bersama anak saudara saya dan rakan lain terus ke hospital untuk pemeriksaan sebelum diarah untuk dikuarantin bagi pemantauan lanjut,” katanya yang berasal dari Gambang, Pahang.

Katanya, keputusan ujian virus itu dikeluarkan hospital beberapa hari lalu namun keluarganya hanya mengetahui perkara itu semalam selepas menghubungi bapanya.

Mustaqim berkata, walaupun bimbang dengan perkembangan itu, mereka tetap optimis kepakaran yang dimiliki pasukan pemantauan Covid-19 yang boleh memulihkan bapanya.

“Bapa memang ada simptom seperti batuk sebelum membuat keputusan untuk jalani pemeriksaan. Tidak sangka pula bapa positif Covid-19.

“Kami akan sentiasa berhubung dengan bapa melalui telefon rakannya yang turut dikuarantin. Niat hati memang mahu melawat tapi kami tidak dibenarkan atas faktor keselamatan kerana bimbang dijangkiti,” katanya.

Mengulas lanjut, Mustaqim berharap lebih ramai peserta ijtimak tampil menjalani pemeriksaan kesihatan kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan impak negatif lebih besar kepada masyarakat.

Berdasarkan siasatan KKM, seramai 16,000 peserta menyertai ijtimak tabligh antarabangsa yang berlangsung di masjid berkenaan dan daripada angka itu, 14,500 adalah rakyat Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 7:47am
    d