utama

Perlis tangguh solat jemaah di masjid selama 14 hari

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PERLIS menjadi negeri kedua menangguhkan solat jemaah dan solat Jumaat di masjid negeri itu selepas Negeri Sembilan.

Menerusi kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, semua aktiviti itu dihentikan bermula waktu Maghrib hari ini sehingga waktu Isyak 29 Mac.

“Menjunjung titah dan perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail selepas menerima pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai perkembangan Covid-19 serta mendapat panduan daripada Jawatankuasa Fatwa.

“Umat Islam diseru melaksanakan solat jemaah di rumah dalam tempoh 14 hari. Laungan azan akan dilaksanakan di masjid dengan gantian seruan ungkapan hayalatain (Marilah menunaikan solat, marilah menuju kemenangan) kepada ‘solatlah di rumah kamu’.

“Hanya pegawai masjid yang bertugas iaitu imam, bilal dan siak hadir solat jemaah selepas dipastikan kebersihan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, semua masjid di Perlis juga perlu melaksanakan proses cucian dan nyahkuman dalam tempoh 14 hari setiap kali selepas solat.

“Justeru, pengurusan masjid perlu melaksanakan tindakan seperti ditetapkan itu. Tempoh pelanjutan akan dipertimbangkan selepas mendapat pandangan KKM,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 2:44pm
    d