utama

Maklum polis jika keluar negeri [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

ORANG ramai perlu memaklumkan kepada balai polis berhampiran dan mendapatkan surat pelepasan sekiranya ada keperluan untuk bergerak dari satu negeri ke negeri lain.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan itu dikuatkuasakan bermula 12 tengah malam ini selaras pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, sebagai langkah mengawal penularan Covid-19 di negara ini.

“Mereka yang berhasrat untuk pulang ke kampung halaman masing-masing membabitkan pergerakan dari satu negeri ke negeri lain dalam tempoh perintah kawalan itu perlu mengisi borang pelepasan di balai polis berhampiran.

“Orang ramai hanya perlu datang ke balai polis dengan mengemukakan dokumen untuk mengisi borang atas urusan penting atau kecemasan yang memerlukan mereka melakukan pergerakan berkenaan,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Hamid berkata, tindakan mengisi borang itu juga diguna pakai kepda mana-mana individu yang menaiki pengangkutan awam seperti bas, perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan kereta api.

“Malah, mereka yang menaiki penerbangan domestik termasuk ke Sabah dan Sarawak perlu mengisi borang berkenaan bagi memudahkan pihak polis melakukan pemantauan pergerakan.

“Pemakluman itu (isi borang) penting supaya kami boleh memantau bagi mengehadkan pergerakan dan bukannya untuk menyusahkan orang ramai dan jika tidak dilaksanakan, misi perintah itu tidak tercapai iaitu untuk mengurangkan interaksi di luar,” katanya.

Katanya, polis mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu melanggar perintah kawalan pergerakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 20 Akta Polis 1967 dan Seksyen 186/188/269 Kanun Keseksaan.

“Buat masa ini, pihak polis tidak membuat sebarang pemeriksaan melalui sekatan jalan raya atau sebagainya, namun, kami menasihatkan orang ramai mengikuti arahan itu bagi mengelakkan tindakan dikenakan terhadap mereka.

“Sekiranya masih ada pihak berdegil, kami akan mengeluarkan amaran sebelum tindakan lebih keras diambil bagi memastikan mereka mengikut arahan dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mengisi borang itu tidak membabitkan individu bekerja di sektor perkhidmatan penting seperti diumumkan Perdana Menteri yang perlu berulang-alik dari satu negeri ke negeri lain.

“Individu yang bekerja di sektor berkenaan hanya perlu mengemukakan pas kerja kepada pihak polis ketika pemeriksaan.

“Bagi mereka (bekerja di perkhidmatan penting) yang berulang alik dalam kawasan Lembah Klang, sepatutnya tidak menjadi masalah kerana ia adalah atas urusan kerja,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan pihaknya sudah melakukan persiapan menghadapi perintah kawalan terbabit sejak dua minggu lalu.

“Malah, cuti semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibekukan bagi menghadapi situasi ini,” katanya.

Terkini:

Usah serbu balai polis, larangan keluar negeri ditangguh

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 6:33pm
    d