utama

Rayuan KP Kesihatan kepada rakyat Malaysia

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SILA duduk di rumah dan jarakkan diri daripada orang lain.

Demikian rayuan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah susulan tindakan orang ramai yang dilihat mengambil peluang untuk pulang ke kampung ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan kerajaan akibat penularan Covid-19.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai peluang yang tipis untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

“Bantulah KKM dengan memainkan peranan anda, kerana setiap individu bertanggungjawab mengambil segala langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga.

“Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi jika kita mempunyai sikap tidak kisah,” katanya menerusi status di Facebook miliknya, hari ini.

Hari ini adalah hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa selama 14 hari sehingga 31 Mac bertujuan mengekang penularan Covid-19 selepas negara merekodkan peningkatan kes yang serius.

Noor Hisham merayu kepada semua rakyat Malaysia supaya mengambil perintah kawalan pergerakan itu secara serius.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 2:24pm
    d