utama

'Durian runtuh' penghantar makanan [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PERINTAH Kawalan Pergerakan yang mula berkuat kuasa semalam bagaikan ‘durian runtuh’ buat penghantar makanan apabila menerima rezeki lebih susulan orang ramai lebih memilih menggunakan perkhidmatan Foodpanda dan GrabFood untuk membeli makanan.

Penghantar makanan Foodpanda, Mohd Zarizi Ahmad, 43, berkata, dia yang mula bekerja sejak 7.30 pagi tadi sehingga 3.30 petang semalam sudah menerima 34 pesanan makanan daripada pelanggan.

Menurutnya, jumlah itu berlipat ganda pada hari biasa sekitar 15 tempahan dalam tempoh sama dia bekerja.

“Ini rezeki buat saya kerana mereka tidak keluar rumah dan ramai yang membungkus makanan susulan arahan dikeluarkan itu,” katanya ketika ditemui di sebuah restoran makanan segera di Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Seorang lagi, penghantar makanan Foodpanda, Mohd Alif Akmal Suwandi, 25, berkata, hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa turut memberi rezeki lebih buatnya.

“Selalunya dalam masa sejam hanya dua pesanan sahaja diterima, namun hari ini bertambah menjadi empat pesanan.

“Saya bermula 9 pagi hingga 3.30 petang sahaja sudah menerima 20 pesanan daripada pelanggan,” katanya.

Mohd Alif berkata, dia juga mengambil langkah keselamatan dengan memakai penutup hidung dan mulut dan menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) ketika berkerja.

Sementara itu, penghantar makanan, GrabFood, Muhammad Sadiq Jamaludin, 25, pula berkata, pesanan itu sentiasa ada namun setakat ini dia baru menerima 10 pesanan dan sama seperti biasa.

Menurutnya, tambahan banyak kedai makanan di dalam pusat beli-belah yang tutup menyebabkan jumlah pesanan agak perlahan sedikit.

Penghantar makanan Foodpanda, M Sabri M Ramli, 32, juga memberitahu jumlah pesanannya seperti biasa dan baru mendapat 10 pesanan sejak mula bekerja dari 11.30 pagi hingga 3.30 petang.

“Namun langkah berjaga-jaga tetap diambil, saya memakai penutup hidung dan mulut dan menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) ketika menghantar pesanan makanan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 10:38pm
    d