utama

Covid-19: 'Syukur, ibu ada di sisi saya'

Oleh Yusmizal Dolah Aling

“TIPULAH kalau tak kecewa selepas belajar enam tahun setengah, konvokesyen dibatalkan terus.

“Tapi, sebab fikirkan keselamatan dan kesihatan keluarga yang datang dari jauh, saya reda,” kata Raja Zahriah Hanim Raja Sabaradin, 25, penuntut Sarjana Perubatan dan Pembedahan di Universiti Al Azhar, Kaherah, Mesir ketika dihubungi, hari ini.

Dia yang sepatutnya selesai majlis konvokesyen pada 14 Mac lalu terpaksa akur dengan keadaan terkini akibat penularan koronavirus baharu (Covid-19) di seluruh dunia dan kini terkandas di negara itu bersama ibunya.

Bagaimanapun, Raja Zahriah Hanim bersyukur kerana sekurang-kurangnya ibunya ada bersama walaupun tidak dapat meraikannya di dalam majlis konvokesyen seperti penuntut lain sebelum ini.

Menurut Raja Zahriah Hanim, dia sepatutnya balik ke tanah air semalam, tetapi kerajaan Mesir menangguhkan semua penerbangan ke luar.

Jadi, katanya, dia terpaksa tunggu sehingga keadaan kembali pulih sebelum pulang ke Malaysia.

“Ibu saya sentiasa berfikiran positif, saya bersyukur dia berada di sisi saya di saat sukar ini dan dia yang banyak mengingatkan saya agar terus bersabar. Ikutkan hati, memang saya nak menangis,” katanya.

Mengenai keadaannya bersama ibu di negara itu, katanya, setakat ini semuanya baik-baik saja di kawasan kediamannya di Abbasiyah.

“Sama juga di Malaysia, di sini juga ada sekatan kepada penduduk, tidak boleh terlalu bebas di luar.

“Alhamdulillah, setakat ini bekalan makanan memang cukup saja, di kedai dan di pasar pun masih banyak,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Adibah Hanim Mohd Shith Mahir berkata, dia berharap penularan wabak berkenaan dapat ditangani segera agar dapat pulang segera ke tanah air.

Katanya, biarpun tidak dapat menyaksikan hari bersejarah anaknya menerima ijazah, dia bersyukur kerana mereka tidak terdedah kepada sebarang wabak yang boleh menjejaskan kesihatan.

“Alhamdulillah, sesi fotografi yang diadakan secara kecil-kecilan di Dewan Malaysia itu dapat mengubati rasa kekecewaan.

“Sekurang-kurangnya ada juga gambar kenangan anak saya memakai jubah konvokesyen dan dapat bergambar bersama ahli keluarga di atas pentas,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah menasihatkan semua rakyat Malaysia yang terkandas akibat penangguhan penerbangan antarabangsa dan masih berada di Mesir supaya menghubungi ejen pelancongan atau syarikat penerbangan untuk menjadualkan semula tiket selepas 31 Mac ini.

Katanya, mereka juga perlu memastikan jadual penerbangan baru sudah dimuktamadkan sebelum bergerak ke lapangan terbang bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 9:04pm
    d