utama

Satu bilion berkurung

Oleh AFP

ROM: Hampir 1 bilion orang kini berada di rumah masing-masing selepas jumlah kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia mencecah 13,000 orang.

Ia selepas 35 negara meminta penduduknya berada di rumah atau menguatkuasakan perintah berkurung secara mandatori.

Angka korban akibat wabak itu kini 12,725 dengan Itali menjadi negara paling terjejas dengan hampir 5,000 kematian.

Jumlah kematian di Itali kini dilaporkan lebih tinggi berbanding China yang menjadi pusat penularan wabak berkenaan.

Situasi itu turut memberi kesan kepada penduduk apabila banyak negara mengarahkan penutupan premis perniagaan dan pendidikan.

Di Amerika Syarikat (AS), beberapa bandar utama seperti New York, Chicago dan Los Angeles melaksanakan perintah berkurung.

Bandar lain dijangka akan mengikut langkah itu secara berperingkat.

“Ini masanya pengorbanan semua diperlukan selain masa menghargai orang yang kita sayangi,” kata Presiden AS Donald Trump.

Ketika pemimpin negara lain giat memerangi wabak berkenaan, jumlah kematian dilihat semakin meningkat khususnya di Eropah.

Sepanyol sudah mencatatkan 32 peratus peningkatan kematian pada Sabtu dan Perdana Menteri Pedro Sanchez sudah memberi peringatan supaya rakyatnya bersedia untuk menghadapi ‘hari yang mencabar’.

Kematian di Perancis pula meningkat kepada 562 orang sehingga memaksa polis menggunakan helikopter dan dron untuk memastikan orang ramai mematuhi arahan kerajaan untuk berada di rumah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 6:30am
    d