utama

3,570 penduduk Simpang Renggam diarah 'berkurung' dalam rumah

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

DUA kampung di daerah Simpang Renggam, Kluang, Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam ini susulan jumlah kes yang tinggi di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua kampung berkenaan adalah Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid.

Beliau berkata, PKPD ini membabitkan 3,570 penduduk tempatan daripada 650 keluarga dan akan berkuat kuasa mulai tengah malam ini sehingga 9 April.

Menurutnya, dengan pelaksanaan perintah itu, semua penduduk tempatan dan pelawat yang berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

Selain itu, katanya, bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

“Semua aktiviti perniagaan dihentikan. Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD dan semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) daripada menular keluar dari kawasan itu.

“Sebanyak 61 kes dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid, mengambil kira jumlah kes yang tinggi di dua kawasan itu kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan memutuskan untuk melaksanakan PKPD,” katanya.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 / 07-7722434.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 9:29pm
    d