utama

Lencun empat jam

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

UMPAMA ‘sauna bergerak.’ Itu keadaan yang perlu ditempuh petugas barisan hadapan sepanjang memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) sama ada di pusat kuarantin mahupun ketika memberi rawatan.

Malah, mereka perlu memakai PPE untuk tempoh sekurang-kurangnya empat jam sebelum dibuka kerana perlu memastikan semua tugasan seperti pemeriksaan kesihatan, penghantaran makanan dan penyelenggaraan bilik selesai dijalankan.

Berkongsi pengalaman di Stesen Kuarantin (SK) Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca), Dr Sharath Raj Kumar berkata, beliau perlu memakai PPE sepanjang penugasan pemeriksaan kesihatan ke atas 116 pelajar tahfiz yang ditempatkan di Maca.

Menurutnya, prosedur itu adalah wajib kerana mahu mengelak daripada berlakunya sentuhan dan kontak rapat dengan penghuni.

“Saya perlu pakai untuk tempoh empat jam setiap kali pemeriksaan dilakukan dan PPE memang panas kerana dipakai bersama lapisan pakaian lain di dalamnya.

“Walaupun bertugas dalam keadaan yang panas, itu tidak menjadi halangan kerana apa yang lebih penting kesihatan penghuni berada dalam keadaan terbaik tanpa sebarang simptom,” katanya yang bertugas di Klinik Kesihatan Batu.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur, Sarimah Ahmad berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memastikan semua penghuni terjaga dari segi kebajikan dan mendapat makanan yang memenuhi piawaian nutrisi ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, setiap hari pegawai dan kakitangan JKM Kuala Lumpur akan bertugas di Maca untuk memastikan keperluan penghuni terjaga.

“Kami berikan perkhidmatan yang terbaik selain bekerjasama dengan agensi lain untuk menganjurkan pelbagai program untuk penghuni.

“Sepanjang tempoh kuarantin kami mahu masa mereka diisi dengan aktiviti walaupun tidak dapat keluar daripada bilik namun kita akan gunakan pendekatan berbeza mengikut kesesuaian,” katanya.

Selain itu, kaunselor JKM juga ditempatkan di Maca untuk membantu memberi motivasi bukan saja kepada penghuni malah kakitangan yang terkesan dari segi motivasi dan semangat sepanjang berdepan tempoh pandemik ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 8:00am
    d