utama

Awas, dua polis palsu buat sekatan jalan raya!

Oleh Nur Izzati Mohamad

LAGAK seperti seorang polis yang kononnya sedang melakukan sekatan jalan raya (SJR) bagi memeriksa individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun siapa sangka ia hanya taktik yang digunakan dua lelaki untuk melakukan kegiatan samun hingga menyebabkan seorang penyelia kilang cedera selepas bahunya dihentak dengan objek tajam dalam kejadian di Jalan Sungai Lembu, Machang Bubok, Bukit Mertajam, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 pagi itu, mangsa lelaki berusia 42 tahun dalam perjalanan ke tempat kerjanya sebelum ternampak kelibat dua lelaki berpakaian vest tertera logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan SJR.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mangsa yang memandu kereta memberhentikan kenderaannya untuk diperiksa tanpa mengesyaki apa-apa.

“Ini kerana menurut mangsa ia sama seperti SJR yang dilakukan polis apabila terdapat kon yang diletakkan di jalan itu.

“Dia kemudian menurunkan cermin kereta dan belum sempat bertanya salah seorang lelaki menarik rantai emas yang dipakai mangsa dan mencederakan bahu kanan mangsa dengan objek tajam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian terus melarikan diri daripada suspek dan bergegas ke Hospital Kulim, Kedah untuk mendapatkan rawatan.

“Temubual yang dijalankan ke atas mangsa memaklumkan dia tidak dapat mengecam dua suspek dengan jelas kerana mereka berdua memakai penutup muka dan mulut.

“Melalui siasatan di tempat kejadian pula tidak menemui kamera litar tertutup (CCTV) dan semakan yang dibuat didapati tiada penugasan SJR di kawasan berkenaan,” katanya.

Shafee berkata, dalam kejadian itu mangsa terpaksa menerima tiga jahitan akibat kecederaan luka di bahu kanan.

Usaha memburu suspek giat dijalankan dan kes disiasat dibawah Seksyen 324/170 Kanun Keseksaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 11:22pm
    d