utama

Rempuh sekatan, seret anggota PGA

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

REMAJA perempuan dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan positif dadah merempuh sekatan jalan raya (SJR) lalu melanggar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA)di Jalan Muhibbah, dekat Lahad Datu, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, anggota PGA berkenaan dilaporkan parah akibat turut terseret selepas dirempuh.

Manakala, suspek berusia 18 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian suspek dipercayai baru balik dari rumah rakannya tidak jauh dari SJR berkenaan dan memandu dalam keadaan mabuk.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek tidak dapat mengawal kenderaan lalu merempuh dan menyeret seorang anggota polis sejauh kira-kira tujuh meter.

"Akibat kejadian, mangsa berkenaan mengalami patah tangan kanan dan cedera di dahi.

"Sejurus kejadian, mangsa dikejarkan ke Hospital Lahad Datu dan kini sedang menerima rawatan lanjut.

"Sementara itu, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memandu laju dalam keadaan mabuk," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Sebelum sidang media diadakan, Nasri turut melawat petugas barisan hadapan berkenaan di hospital.

Mengulas lanjut, Nasri berkata, remaja itu kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

"Ujian saringan air kencing suspek kemudiannya didapati positif dadah jenis Methamine dan Amphetamine.

"Pemeriksaan tubuh badan suspek turut menemui dadah yang disembunyikan pada poket seluar suspek.

"Siasat lanjut mendapati, suspek turut tidak memiliki lesen memandu yang sah," katanya.

Nasri berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan rumah rakan suspek itu bagi mengetahui sekiranya terdapat aktiviti yang salah dijalankan.

"Siasatan diteruskan mengukut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

"Dalam pada itu, remaja itu turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga Seksyen 26(2) Akta Polis," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 25, 2020 @ 1:18pm
    d