utama

Perlis benar solat Jumaat

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PERLIS membenarkan pelaksanaan solat Jumaat di masjid seluruh negeri bermula 15 Mei dengan syarat tertentu tanpa kehadiran orang awam.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataan hari ini berkata, solat Jumaat berkenaan hanya terhad kepada ahli jawatankuasa masjid sahaja.

Katanya, perintah berkenaan dikeluarkan selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai permulaan untuk membolehkan 'Syiar Jumaat' dihidupkan kembali.

"Peraturan disediakan untuk masjid-masjid di Perlis agar didirikan solat Jumaat selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ekoran Covid-19 selepas mengambil kira dan mempertimbangkan pandangan-pandangan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Jawatankuasa Muazakarah Khas Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sehubungan itu, solat Jumaat hendaklah didirikan dengan mematuhi ketetapan tertentu seperti jumlah jemaah termasuk imam dan khatib adalah tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang daripada tiga orang.

"Masjid tidak dibuka kepada orang awam, sebaliknya hanya pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa masjid sahaja dibenarkan melakukan solat Jumaat," katanya.

Katanya, syarat lain ialah mereka berusia 60 tahun dan ke atas tidak dibenarkan hadir ke masjid.

"Setiap yang diizinkan hadir hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran.

"Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema serta mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah dan sebagainya tidak dibenarkan hadir.

"Jemaah mestilah melaksanakan penjarakan sosial semasa solat (sekurang-kurangnya dua meter) serta diwajibkan memakai pelitup muka ketika menunaikan solat Jumaat," katanya.

Katanya, jemaah juga dikehendaki berwuduk terlebih dahulu sebelum ke masjid dan pelaksanaan rukun solat Jumaat terhad selama 15 minit sahaja.

"Tiada kontak fizikal dibenarkan di dalam masjid sama ada sebelum atau selepas solat dan jemaah hendaklah terus beredar meninggalkan kawasan masjid seusai selesai solat," katanya.

Katanya, pelaksanaan itu mesti dibuat di kawasan lebih terbuka seperti anjung masjid bagi memastikan Perlis diisytiharkan sebagai Zon Putih dalam waktu terdekat.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 9:27pm
    d