utama

Status 'Mat Saleh' bukan tiket barisi Harimau Malaya

Oleh Firdaus Hashim

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan pengambilan mana-mana pemain berdarah kacukan atau warisan tetap berpaksikan kepada kualiti dan piawaian tinggi yang ditetapkan badan induk itu.

Ia sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa status sebagai 'Mat Saleh' bukanlah tiket mudah untuk membarisi skuad Harimau Malaya.

Malah, pemilihan ketat yang dilakukan FAM itu turut mendapat pujian daripada pasukan serantau seperti pasukan Indonesia apabila penyokong negara itu mahu Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mempelajari sistem pemilihan dengan FAM.

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya sentiasa menitik beratkan soal kualiti di samping semangat untuk menyarung jersi negara.

Katanya, dua tonggak warisan baharu iaitu Harry Edge dan Marcel Kalonda turut tidak terkecuali dan aksi mereka akan dinilai oleh pakar di bahagian teknikal dalam jawatankuasa itu.

"Kita kena pastikan dahulu kesahihan hubungan pemain ini dengan negara kita. Sekiranya didapati memang mereka ada pertalian darah atau pemain warisan, mereka akan menempuh peringkat kedua pula.

"Kita akan menguji dan melihat kemampuan mereka yang akan dinilai oleh bahagian teknikal. Pemilihan mestilah terbaik dan mesti lebih bagus daripada pemain sedia ada. Buat apa kita ambil pemain yang sama tahap dengan pemain tempatan, kalau macam itu baik kita guna tenaga tempatan saja.

"Jika peringkat itu berjaya dilepasi, barulah ketua jurulatih pula akan menilai prestasi mereka adakah sesuai dengan corak permainan pasukan atau tidak. Maknanya, proses kita memang ketat dan jangan ingat kalau lahir di luar negara sahaja boleh senang-senang main.

"Objektif kita hanyalah mahu membentuk sebuah pasukan yang mantap dan boleh bersaing dengan pasukan di luar sana," katanya.

Untuk rekod, dalam aksi terakhir skuad negara pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menyaksikan tiga pemain kacukan iaitu Matthew Davies, Brendan Gan dan Corbin Ong berada dalam skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Manakala, Mohamadou Sumareh adalah pemain berstatus naturalisasi yang diberikan taraf kerakyatan dua tahun lalu sebelum Liridon Krasniqi menyusul awal tahun ini.

Berita berkaitan

Kita perlu sasar lebih tinggi - Azraai

Kumpul bukti pertalian darah 'Harimau Malaya'

Harry, Marcel calon naturalisasi baharu

Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 6:30am
d