utama

Bayi dicampak cedera di otak

Oleh Zuhainy Zulkiffli

BAYI perempuan yang dicampak dari tingkat empat Flat Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru di Georgetown semalam dilapor mengalami kecederaan pada otaknya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superitendan A A Anbalagan berkata, bayi malang itu turut mengalami retak pada tempurung kepala dan kecederaan di hati.

"Maklumat daripada doktor mendapati bayi berkenaan mengalami kecederaan terbabit dengan luka sepanjang dua sentimeter di kepalanya.

"Dimaklumkan bahawa bayi itu akan dirujuk kepada pakar dan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya hari ini.

Dalam kejadian pada 8 pagi semalam, bayi berkenaan ditemui penghuni flat selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah.

Siasatan polis membawa kepada penahanan remaja perempuan itu yang juga pembantu kedai dan mengaku melahirkan bayi pada 7 pagi dalam tandas rumah tanpa pengetahuan ahli keluarganya.

Perempuan berusia 18 tahun itu didakwa membuang bayinya dari tingkat empat rumah selepas panik dan mengelak diketahui ahli keluarga.

Berita berkaitan

Polis buru bapa bayi dicampak

Campak bayi dari tingkat 4

Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 4:07pm
d