utama

Polis, Rela kawal masjid dan surau

Oleh Mahaizura Abd Malik

MASJID dan surau di seluruh negara yang menjalankan solat berjemaah serta Jumaat selepas ini akan dikawal polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri, hari ini selepas meneliti laporan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

"Secara keseluruhannya hampir semua masjid dan surau mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika solat Jumaat semalam, seperti hadkan bilangan jemaah tidak lebih 30 orang, pemakaian pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan tanda penjarakan sosial di tempat solat selain memeriksa suhu dan menulis nama.

"(Namun) semalam juga dilaporkan terdapat sebuah masjid di luar Wilayah Persekutuan, ada jemaah yang tidak dibenarkan masuk masjid, telah bersembahyang di pekarangan masjid.

"Seperti saya sebutkan SOP sudah dikeluarkan, jadi saya harap mereka tidak tersenarai dalam nama yang dikeluarkan pihak masjid (untuk solat) tidak perlulah pergi masjid," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan akan berbincang dengan penganjur program bagi penyediaan SOP khusus untuk pengamal media yang hadir membuat liputan.

"Terdapat isu pengamal media yang datang terlalu ramai berhimpit-himpit dan jelas tidak amalkan penjarakan sosial.

"Justeru, saya mohon kepada pengamal media jika hendak buat laporan berita sekalipun, tolong patuhi SOP termasuk penjarakan sosial. Jika kawasan itu sempit, tidak perlu masuk jangan bahayakan diri sendiri.

"Saya setuju supaya penganjur mana-mana program hendak panggil media, mereka mesti sediakan tempat bertanda dan jika didapati kawasan itu sempit maka mereka boleh hadkan jumlah media hadir," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 3:16pm
    d