utama

'Lebih baik saya jadi pembangkang' [METROTV]

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

"LEBIH baik saya menjadi pembangkang daripada menyertai satu gagasan politik yang dicemari skandal antarabangsa dan saya tidak tergamak mengkhianati mandat yang diberi rakyat," kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa hari ini.

Menurutnya, beliau berpegang kepada pendirian berprinsip bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu menolak kerjasama bersama UMNO dan disebabkan itu memutuskan untuk tidak menerima pelawaan bersama Perikatan Nasional (PN) Kedah untuk kekal sebagai Menteri Besar.

"Umum juga mengetahui saya mencabar jawatan Presiden BERSATU pada pemilihan akan datang selain Tun Mahathir pula memfailkan usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

"Tentunya dua tindakan itu menyebabkan saya hendak dijatuhkan daripada jawatan Menteri Besar," katanya di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Mengulas lanjut, Mukhriz yang juga ADUN Jitra berkata, pihaknya tidak berhasrat memanjangkan isu itu ke mahkamah berikutan Undang-Undang Tubuh Negeri menjelaskan terdapat keadaan Menteri Besar yang hilang majoriti perlu melepaskan jawatan.

Selasa lalu, PN Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 ADUN, termasuk daripada BERSATU.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), AMANAH (empat), BERSATU-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), BERSATU-Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), UMNO (dua) dan Bebas (dua).

Berita berkaitan

Sanusi Menteri Kedah ke-14

'Saya hilang kepercayaan majoriti Adun' - Mukhriz

Usah tangisi kejatuhan kerajaan PH Kedah

Sanusi angkat sumpah jawatan MB Kedah petang ini

Angkat sumpah MB Kedah baharu esok

EXCO Kedah dijangka letak jawatan esok

Mukhriz umum kedudukan esok

Disiarkan pada: May 17, 2020 @ 11:41am
d