utama

PKPD Pasar Jalan Othman, ditamatkan [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya sejak 10 Mei lalu, ditamatkan bermula tengah malam tadi.

Pasukan keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah membuka kawat duri yang dipasang di sekitar kawasan berkenaan.

Tinjauan Harian Metro mendapati kerja-kerja membuka kawat duri dijalankan pada 12 tengah malam.

Dianggarkan, terdapat 2,150 penduduk termasuk 595 warga asing tinggal di kawasan berkenaan dan mereka sudah disaring sepenuhnya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengucapkan terima kasih kepada komuniti pasar Jalan Othman kerana menyokong dan bersabar sepanjang PKPD.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi lain yang banyak membantu sepanjang kawasan berkenaan di isytiharkan sebagai PKPD," katanya ketika ditemui, hari ini.

Kawasan di sekitar Pasar Jalan Othman diletakkan di bawah PKPD sejak 10 Mei lalu.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesahkan terdapat 26 kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

PKPD di kawasan itu sebelum ini dijadualkan berkuat kuasa sehingga 23 Mei.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 21, 2020 @ 9:28am
    d