utama

Bawa penumpang ikut kapasiti kenderaan mula esok

Oleh Murni Wan Omar dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

JUMLAH penumpang kini boleh mengikut kapasiti tempat duduk kenderaan masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mesyuarat sudah bersetuju untuk membenarkan mereka yang menaiki kenderaan boleh melebihi empat individu dengan syarat ia mengikut kapasiti yang ditetapkan.

Menurutnya, hari ini kerajaan sudah mewartakan Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan Nombor 6 Pindaan 2020).

"Peraturan itu antara lain membabitkan penumpang bagi kenderaan persendirian yang membolehkan ia dibawa mengikut kapasiti kenderaan masing-masing dikawal mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Bermakna jika kapasiti empat penumpang maka seorang pemandu campur tiga penumpang tetapi bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) ia merangkumi seorang pemandu dan enam penumpang, maksimum tujuh orang. Ia akan berkuat kuasa esok," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Namun katanya syarat lain masih kekal iaitu mereka mesti dari ahli keluarga yang tinggal bersama.

Sebelum ini, kerajaan hanya membenarkan empat individu masing-masing tiga penumpang dan pemandu bagi sebuah kenderaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 738 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung diarah berpatah balik oleh polis berbanding 1,243 pada hari sebelumnya.

"Cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung tertinggi adalah Selangor iaitu 317 diikuti Melaka (89) dan Kedah (80).

"Semalam polis menahan 65 individu yang mana 57 individu direman dan lapan individu dijamin atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 26, 2020 @ 2:38pm
    d