utama

40km dikejar polis [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Tiga lelaki dikejar polis sejauh kira-kira 40 kilometer (km) selepas cuba meloloskan diri daripada polis dengan merempuh tiga Sekatan Jalan Raya (SJR) di Ipoh, Kampar dan Tapah sebelum mereka ditahan di kawasan Kampung Chenderiang, Ipoh, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketiga-tiga suspek berusia berusia 21, 23 dan 26 tahun yang ditahan itu didapati positif dadah, selain siasatan mendapati mereka memiliki pelbagai jenayah lampau.

Beliau berkata, kejadian 10.30 pagi itu berlaku ketika anggota polis yang menjalankan snap check di Jalan Sultan Nazrin Shah, Simpang Pulai, Ipoh menahan kenderaan Toyota Avanza yang dinaiki tiga lelaki berkenaan kerana kesalahan pemandu menggunakan telefon bimbit.

"Suspek bagaimanapun enggan memberhentikan kenderaan dan terus lari daripada snap check berkenaan dan cuba melanggar seorang anggota yang bertugas di SJR.

"Anggota kemudian mengekori kenderaan suspek yang menuju ke Jalan Changkat Larang dan menghubungi bilik gerakan untuk bantuan MPV dan daripada anggota daerah Kampar," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Utama Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, hari ini.

A Asmadi berkata, suspek kemudiannya melanggar SJR Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng dengan merempuh papan tanda dan juga cuba melanggar anggota yang bertugas dan menuju ke arah pekan Kampar.

Beliau berkata, kenderaan suspek menuju ke Chenderiang, Tapah dan terus diekori polis dan pasukan petugas Covid Tapah.

"Op tutup diadakan di kawasan Chenderiang dalam usaha memberhentikan kenderaan suspek. Pelbagai usaha dilakukan dan suspek melanggar beberapa kereta yang di letakkan di bahu jalan.

"Anggota pasukan petugas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Balai Polis Chenderiang kemudiannya melepaskan tiga das tembakan dan mengenai pintu hadapan sebelah kiri, bahagian bawah sebelah kanan serta tayar hadapan sebelah kanan," katanya.

Menurutnya, kenderaan suspek akhirnya terbabas di tepi jalan serta melanggar tiang rumah penduduk kampung dan susulan itu kesemua suspek berjaya ditangkap.

Katanya, hasil siasatan terhadap suspek yang memandu kenderaan mendapati punca mereka melarikan diri daripada SJR pertama kerana diugut serta diacu pisau oleh seorang daripada suspek berkenaan.

"Maklumat daripada tangkapan juga memberitahu mereka ada membawa dadah syabu dan dipercayai sudah dicampak ketika polis mengejar suspek dan polis menyiasat perkara berkenaan.

"Didapati semalam mereka datang ke Ipoh untuk berhibur dan merancang untuk balik semula hari ini tetapi berjaya ditangkap," katanya.

Ujian urin yang dijalankan mendapati semua suspek positif dadah methaphetamin dan mereka memiliki jenayah lampau membabitkan tangkapan dadah, curi kenderaan termasuk Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

"Tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Seksyen 42 dan Seksyen 43 APJ 1987," kata A Asmadi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 9:59pm
    d