utama

Terasa sayu lihat gambar ayah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

"SEJAK hari raya pertama, saya rindu dan selalu teringat ayah tetapi tak dapat bercuti kerana bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selain tidak dibenarkan merentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Semalam masa bertugas saya tengok gambar ayah yang disimpan dalam telefon bimbit dan terasa sayu sangat, sebelum ibu maklumkan ayah hilang di laut ketika menangkap ikan," kata Firdaus Nordin, 25.

Firdaus adalah anak sulung Nordin Saad, 52, nelayan yang ditemui lemas kira-kira dua batu nautika dari muara Kuala Kedah, hari ini.

Sebelum itu, mangsa dilaporkan hilang ketika menangkap ikan, petang semalam.

Kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) itu berkata, dia juga tidak sempat menghubungi bapanya pada hari pertama Aidilfitri lalu kerana sibuk bertugas.

"Saya terkilan kerana memang nak telefon dia (ayah), tapi saya sibuk sejak hari pertama Aidilfitri sehinggalah dimaklumkan berita mengenai ayah semalam.

"Sememangnya saya tak sedap hati sejak beberapa hari lalu. Saya terus pulang ke sini (Alor Setar) sebaik dimaklumkan ibu mengenai kejadian menimpa ayah.

"Saya juga menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama agensi penyelamat sejak pagi tadi sehingga mayat ayah ditemui," katanya ketika ditemui di lokasi pencarian di Kuala Kedah.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu bapanya pada awal tahun ini ketika pulang ke kampung sebelum penularan wabak Covid-19.

Katanya, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah walaupun masih suasana Aidilfitri.

Jenazah dikebumikan kampung ibunya di Felda Mata Ayer, Padang Besar, Perlis.

Sementara itu, isteri mangsa, Rozaina Shafie, 46, berkata, dia melarang suaminya turun ke laut semalam tetapi arwah beritahu rakan-rakannya mendapat banyak hasil tangkapan ikan.

Katanya, suaminya baru turun ke laut seorang diri dengan menaiki bot fiber miliknya semalam, selepas tiga bulan tidak keluar menangkap ikan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh pihak berkuasa yang suami jatuh di laut malah botnya ditemui di lokasi kejadian.

"Mulanya saya ingat arwah mungkin diselamatkan nelayan lain kerana dia sudah lebih 20 tahun menjadi nelayan dan saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Nelayan hilang ditemui lemas [METROTV]

Bot ditemui berpusing tanpa pengemudi [METROTV]

Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 3:29pm
d