utama

Tiga perumahan di Sepang dikenakan PKPD? [METROTV]

Oleh Samadi Ahmad

TIGA taman perumahan di Sepang dipercayai dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula tengah malam tadi.

Taman berkenaan adalah Taman Langat Murni, Taman Langat Utama dan Taman Langat Utama 2, berhampiran Bukit Changgang.

Tinjauan Harian Metro mendapati pemasangan pagar kawat duri di kawasan itu juga sudah dilaksanakan sejak tengah malam tadi.

Semua penduduk dan pelawat yang berada di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

Sebelum ini media melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kluster Covid-19 baharu membabitkan pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tinggal di kawasan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu dikesan mengakibatkan seramai 24 warganegara Bangladesh dijangkiti wabak itu.

Menurut beliau, kluster berkenaan dikenal pasti sebuah klinik swasta yang bertanggungjawab mengadakan saringan terhadap pekerja syarikat berkenaan.

Katanya, 20 individu yang dikesan dijangkiti menginap di dalam sebuah asrama di kawasan itu, manakala empat lagi individu di sebuah pangsapuri di Nilai, Negeri Sembilan.

Kakitangan swasta, Muhammmad Noor Hidayat kamruddin, 31, berkata, dia mendapat tahu mengenai perkara itu selepas dimaklumkan ahli keluarga ketika berada di tempat kerja.

Dia sepatutnya tamat berkerja pada jam 4 petang ini, namun diarahkan keluarga untuk pulang bagi membuat ujian saringan Covid-19 hari ini yang diadakan KKM.

"Sebelum ini memang tahu ada sekumpulan pekerja warga asing disahkan Covid-19 dan merasa terkejut apabila dimaklumkan kediaman kami dipasang kawat duri yang dikawal tentera dan polis," katanya.

Bagi Siti Halimah Hassim, 37, berkata, dia mendapat tahu kawasan itu dikawal anggota keselamatan selepas dimaklumkan suami pada tengah malam tadi.

Menurutnya, pagi ini dia bersama empat anak sepatutnya melakukan ujian saringan Covid-19, namun disebabkan jumlah penduduk yang datang ramai terpaksa menunggu giliran di sebelah petang.

"Setakat ini penduduk masih boleh keluar dan masuk sekiranya mempunyai surat kebenaran, namun selepas menjalani ujian saringan, kami hanya dibenarkan berada di rumah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 9:51am
    d