utama

Utamakan orang kita

Oleh BERNAMA

NEGARA bakal menyaksikan perubahan besar dalam dasar pengambilan pekerja asing dan kawalan terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) pascapandemik Covid-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata, sudah tiba masa dasar itu disemak semula susulan warga asing yang dilihat sebagai antara kumpulan yang menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di negara ini serta beberapa negara lain termasuk Singapura.

"Mungkin disebabkan Covid-19 ini, akan ada perubahan besar dari segi dasar pengambilan pekerja asing dan satu lagi menyekat kedatangan warga asing secara haram. Itulah perkara besar yang akan berlaku daripada Covid-19 ini," katanya dalam temu bual untuk dokumentari mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbitan Bernama TV di sini.

Menjelas lebih lanjut, katanya, ekonomi termasuk sektor pelancongan dilihat sangat terkesan dengan penularan Covid-19, menyaksikan banyak hotel dan kilang bakal ditutup serta pembuangan pekerja berlaku, sekali gus menyebabkan jumlah pengangguran meningkat.

Sambil menyatakan pemulihan ekonomi pasca Covid-19 mungkin agak perlahan, beliau berkata, dasar kerajaan pasti akan mengutamakan rakyat tempatan untuk bekerja dalam negara berbanding warga asing.

Sebagai menteri yang diamanahkan mempengerusikan mesyuarat khas menteri-menteri mengenai PKP sepanjang Covid-19 'membadai' negara serta menyampaikan perkembangannya setiap hari kepada rakyat, Ismail Sabri berkata perkara itu akan dibincangkan dengan kementerian berkaitan bagi melihat semula dasar pengurangan bilangan pekerja asing di negara ini.

Selain perubahan dasar berkenaan, turut diberi perhatian adalah isu kemasukan Pati ke negara ini yang tidak pernah berkesudahan.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, selepas Covid-19 melanda, satu pasukan khas bersepadu yang dianggotai oleh pelbagai agensi berkaitan ditubuhkan bagi memperkasa pengawalan sempadan negara termasuk di lorong tikus.

"'Special task force' bersepadu yang dipengerusikan Panglima Angkatan Tentera ini dianggotai oleh agensi penguatkusaaan seperti ATM, PDRM, APMM dan beberapa lagi agensi, sudah ditubuhkan semasa Covid-19 untuk digemblengkan bukan sahaja dari segi anggota bahkan aset yang ada bagi memastikan Pati yang lolos pulang ke negara asal tidak akan lagi dapat masuk semula ke negara ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 6:35am
    d