utama

'Kita selamat doh, ayah jaga ayah pulak'

Oleh Zaid Salim

"SELEPAS kejadian (lemas), setiap hari saya terbayang-bayang wajah Umar seolah-olah memandang saya ketika membersih kawasan halaman rumah pada Hari Raya pertama.

"Pandangannya itu berbeza, dia macam nak beritahu sesuatu. Tetapi kini bayangan itu hilang apabila dia (Umar) datang dalam mimpi," kata Mohd Ismail, 64, bapa kepada tiga beradik yang lemas di Sungai Terengganu, 27 Mei lalu.

Mohd berkata, dia tidak menafikan masih terbayang kelibat tiga anaknya itu walaupun sudah 11 hari kejadian berlalu.

Katanya, selama empat hari dia hilang selera makan malah setiap perlakuan arwah anaknya sebelum kejadian masih terbayang-bayang hingga kini.

"Saya akhirnya bermimpikan Umar. Arwah memanggil saya dengan panggilan ayah sebanyak tiga kali sebelum mengeluarkan kata-kata 'kita selamat doh, ayah jaga ayah pulak," katanya.

Menurutnya, dia memahami kata-kata yang dianggap sebagai pesanan daripada arwah anak.

"Mungkin itu yang nak diberitahu kepada saya sebelum dia meninggal. Selepas mimpi itu, tanda tanya yang bermain di fikiran saya sebelum ini serta-merta hilang," katanya selepas menerima kunjungan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Yahya Ali yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Sejahtera (Sejahtera) di Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu, hari ini.

Dalam kejadian itu, Umar Iskandar, 21, Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim Mohd, 16, ke Sungai Terengganu kira-kira 200 meter dari rumah untuk mandi pada jam 6.30 petang sebelum Khalif Naim dilaporkan lemas disusuli Khairil Firdaus dan Umar Iskandar yang tenggelam ketika cuba membantu adiknya.

Sementara itu, kakak arwah, Khairiah, 20, berkata, arwah Khalif Naim seolah-olah sudah merasakan dia akan bertemu Allah apabila meminta rakan tidak lagi menghantar Whatsapp kepadanya kerana mahu meluangkan masa dengan Tuhan.

Menurutnya, dia menemui beberapa perbualan arwah menerusi WhatsApp bersama rakannya empat hari sebelum kejadian.

Anak kelima daripada lapan beradik itu berkata, dia sebak apabila membaca kata-kata itu sekali gus merasakan arwah adiknya seolah-olah sudah tahu dia akan pergi bertemu Allah.

"Mungkin berlaku salah faham antara mereka dan ketika arwah memujuk rakannya, dia mengeluarkan kata-kata itu," katanya.

Jasad tiga beradik itu ditemui di dasar sungai sehari selepas kejadian pada jarak 50 meter antara satu sama lain tidak jauh dari lokasi tempat mereka dilaporkan lemas.

Jenazah dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Limbat, Rawai, Bukit Payung, Marang.

Berita berkaitan

'Saya dah hantar 40 jenazah, tapi kali ini saya tak terdaya'

Keceriaan terakhir tiga beradik

Mayat terakhir tiga beradik ditemui

Mayat Khairil Firdaus pula ditemui

Mayat Umar Iskandar ditemui [METROTV]

Mahu baju sedondon, gambar bersama

3 beradik dikhuatiri lemas

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 7:22pm
d