utama

Balik kampung kali ini tuntut kesabaran luar biasa [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

TRADISI rakyat Malaysia pulang ke kampung kali ini di luar kebiasaan kerana ia menuntut kesabaran tinggi dalam mengamalkan normal baharu untuk tiba ke destinasi.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, pelbagai prosedur operasi standard (SOP) baharu ditetapkan di semua hentian rehat dan rawat (R&R) di bawah kendalian syarikat konsesi itu.

"Pulang ke kampung dalam keadaan normal baharu memerlukan kesabaran yang tinggi daripada pengguna, apabila kita cerita mengenai penjarakan sosial maka mereka perlu beratur sebelum dapat menggunakan kemudahan disediakan.

"Bukan saja itu, pengguna akan diperiksa suhu badan sebelum memasuki R&R, penggunaan surau dihadkan mengikut keluasan malah kami tidak lagi menyediakan sejadah dan telekung wakaf bagi menjaga kebersihan," katanya ditemui di Pusat Kawalan Trafik di Persada PLUS hari ini.

Mohd Yusuf berkata, orang ramai juga tidak dibenarkan berkumpul di parkir dan makan dalam jumlah yang ramai di satu-satu meja.

Inilah amalan normal baharu yang perlu dipraktikkan bagi mengelak kluster R&R, balik kampung atau rentas negeri.

"Kami akui, ini juga yang paling ditakuti (kluster) dan cuba elakkan, sebab itu kami mohon kerjasama semua untuk mengadaptasi normal baharu ini sepanjang perjalanan pulang ke kampung.

"Balik kampung sekarang berbeza dengan sebelum ini, kita perlu pastikan keselamatan diri dan orang dilawati selamat daripada Covid-19 dan tanggungjawab ini lebih besar, patuhi SOP dan Insya-Allah, semua akan selamat," katanya.

Ditanya mengenai jangkaan kadar aliran trafik yang tinggi minggu ini, Mohd Yusuf berkata, sebaik kebenaran rentas negeri diberikan, orang ramai memang mengambil peluang pulang ke kampung secara berperingkat menyebabkan kadar aliran trafik menunjukkan sedikit peningkatan bermula hari ini.

"Hari ini, berlaku sedikit peningkatan jumlah kenderaan keluar dari ibu kota menghala ke utara, dan jangkaan sama juga akan berlaku esok sehingga Jumaat.

"Kami anggarkan peningkatan antara 15 hingga 20 peratus membabitkan 1.1 hingga 1.2 juta kenderaan menghala ke semua arah.

"Bagaimanapun, paling dikhuatiri adalah Ahad, kemungkinan semua kenderaan keluar akan memasuki ibu kota semula secara serentak dari semua negeri pada hari sama," katanya.

Beliau berkata, sekiranya keadaan tidak terkawal untuk menyuraikan orang ramai daripada berkumpul di R&R, PLUS akan menggunakan pendekatan menutup kemudahan itu.

"Ini antara pendekatan akan diambil jika kita tidak boleh kawal keadaan dan orang ramai berkumpul dalam jumlah yang besar, kita akan tutup kawasan R&R terbabit.

"Apa yang penting sikap dan tanggungjawab masing-masing, tanda pagar #kitajagakita sekarang bergantung kepada semua, kitalah barisan depan yang sepatutnya menentukan keselamatan diri dalam pematuhan SOP ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 6:17pm
    d