utama

Begini jika sekolah dibuka nanti

Oleh Azrul Affandi Sobry

SUDAH tiga bulan tidak menjejakkan kaki ke sekolah, hati mana yang tak rindu kepetahan guru menyampaikan ilmu, gelak tawa rakan-rakan, apatah lagi mahu kembali kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran seperti sedia kala.

Itulah perasaan dirasai ribuan pelajar yang sudah begitu lama tidak ke sekolah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu yang mana mereka hanya ada kesempatan bersemuka dengan guru dan rakan-rakan secara dalam talian.

Pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membuka kembali sekolah bermula 24 Jun ini bagi pelajar kelas peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan beberapa peperiksaan besar lain nyata memberi kelegaan kepada ramai pelajar, guru dan ibu bapa.

Bagi melihat sendiri bagaimanakah kemampuan pihak sekolah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP), wartawan Harian Metro mengunjungi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16, Shah Alam, hasil kerjasama baik pengetua dan guru yang ditugaskan.

Bagaikan seorang pemandu pelancong, Guru Kanan Mata Pelajaran Teknik dan Vokasional, Mohamad Khamidon Sadi membawa wartawan meninjau seluruh kawasan sekolah termasuk kelas dan bilik khas yang semuanya sudah siap dengan pematuhan SOP seperti dikehendaki kementerian.

Tidak cukup dengan itu, pihak sekolah juga menyediakan 16 pelajar tingkatan lima bagi menunjukkan bagaimana kaedah pelaksanaan SOP dipraktikkan apabila sekolah mula dibuka Rabu depan.

Bermula dari pintu masuk sekolah, pelaksanaan SOP sudah dibuat dengan pengambilan suhu pelajar sejurus masuk melalui pintu khas dan sekiranya tidak membawa pelitup hidung dan mulut, pelajar akan dibekalkan dengan pelitup itu, atas inisiatif pihak sekolah meskipun ia bukan arahan wajib kementerian.

Jika suhu badan melebihi 37.5 darjah selsius pula, pelajar diminta pulang dan tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah.

Setiap laluan bermula dari pintu pagar hingga ke kelas dan kantin ditandakan dengan arah laluan satu hala di lantai bagi memudahkan pelajar mematuhi SOP penjarakan sosial.

Di kelas, dengan hanya 16 hingga 20 meja disediakan, penjarakan setiap pelajar melebihi satu meter dan kaedah keluar masuk kelas juga perlu ada jarak antara mereka berpandukan kepada penanda jarak di lantai.

Mohamad Khamidon berkata, pematuhan kepada SOP ini bukan hanya di kelas tetapi di semua bilik khas juga seperti makmal sains, makmal komputer dan studio seni.

"Di kantin, pelajar diasingkan antara lelaki dan perempuan dengan berbaris pada jarak satu meter setiap orang. Pergerakan mereka ke kaunter jualan adalah secara satu hala dan laluan keluar masuk juga secara sehala.

"Begitu juga di kelas, semua pergerakan keluar masuk berlaku secara satu hala dan tidak ada ruang sebenarnya untuk mereka merapati antara satu sama lain.

"Di makmal sains pula, satu meja yang selama ini boleh memuatkan antara empat hingga enam pelajar dikecilkan kapasitinya kepada hanya dua orang saja," katanya.

Membawa wartawan melihat pelaksanaan SOP di sekolah itu, Mohamad Khamidon turut membuat demonstrasi bersama 16 pelajar tingkatan lima di bilik khas lain seperti makmal komputer dan studio seni.

Komputer yang selama ini digunakan secara perkongsian dua orang satu komputer, kali ini dengan SOP yang ada, hanya dibenarkan satu orang menggunakannya.

Begitu juga di studio seni apabila meja panjang ditandakan dengan anak panah yang mana hanya pada penanda itu saja dibenarkan pelajar duduk sekali gus menjarakkan pelajar melebihi satu meter.

Pelajar tingkatan lima sekolah itu, Zulkifli Salehudin berkata, dia yakin semua pelajar rindu kembali ke sekolah kerana sudah terlalu lama belajar di rumah.

"Semua kawan saya gembira dengan pengumuman ini dan kami sudah tidak sabar kembali ke sekolah pada 24 Jun ini," katanya.

Begitu juga dengan Nurien Aina Ahmad Marzuki, yang mahu segera kembali ke sekolah kerana mahu belajar seperti sedia kala, bukan lagi secara atas talian selama PKP ini.

Pengetua sekolah itu, Rohana Mat Sah pula, yakin kerjasama baik antara pihak sekolah dan ibu bapa dapat memudahkan pelaksanaan SOP apabila sekolah mula dibuka.

"Setiap masa kami berhubung dengan ibu bapa dan ingatan sudah diberikan kepada mereka supaya patuh kepada SOP. Anak yang tidak sihat, jangan dihantar ke sekolah," katanya.

Ibu pelajar, Suhada Ahmad Kamal pula gembira kerana anaknya sudah dapat peluang untuk kembali ke sekolah dan bersedia menghadapi SPM tahun ini.

"Saya yakin semuanya selamat. Melihat kepada persiapan sekolah dan ingatan supaya kita jaga kita, saya percaya anak saya akan selamat di sekolah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 8:10pm
    d