utama

Pawagam, kolam renang, teater dibenarkan operasi [METROTV]

Oleh Isma Ismail dan Suraya Ruslan

KERAJAAN bersetuju untuk membenarkan semula aktiviti kolam renang, pawagam dan teater bermula pada 1 Julai ini berdasarkan beberapa pematuhan seperti yang ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti riadah kolam renang dibenarkan di hotel, kondominium, kawasan terkawal (gated community) serta kolam renang persendirian.

Menurutnya, prasyarat untuk setiap lokasi kolam renang itu mestilah menyediakan pengawal atau penyelia bukan hanya untuk memastikan keselamatan pengguna tetapi juga jumlah dan masa penggunaan terkawal.

Katanya, jumlah pengguna dalam kolam perlu berdasarkan kapasiti dan keluasan kolam renang.

"Mengenai kolam renang untuk kanak-kanak, walaupun pada dasarnya tiada halangan tetapi kita masih lagi tidak menggalakkan kanak-kanak guna kolam renang.

"Terserah jika ada pihak pengurusan kolam menetapkan tidak membuka kolam renang untuk kanak-kanak dan ibu bapa perlukan mengambil pendekatan sendiri untuk kawalan kendiri bagi menjaga keselamatan anak-anak mereka," katanya ketika sidang media di Putrajaya dekat Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, pihak pengurusan kolam renang itu perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) di laman web NOTIFICATION.MITI.GOV.MY dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan pemantauan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Katanya, selain kolam renang, aktiviti pelancongan air iaitu sungai, pantai, laut dan tasik turut dibenarkan dengan syarat mestilah mematuhi SOP, taman tema air masih tidak dibenarkan untuk beroperasi lagi.

"Bagi operasi pawagam dan teater pula, kebenaran diberikan hanya untuk diadakan di dewan tertutup sahaja.

"Bagaimanapun, aktiviti ini tidak boleh melebihi 250 individu bagi setiap pertunjukan dan tertakluk kepada kapasiti dewan.

"SOP yang ditetapkan terutamanya penjarakan sosial, diperiksa suhu badan sebelum masuk dan pensanitasi tangan perlu dipatuhi pada setiap masa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 2:52pm
    d