utama

Tebusan RM154 juta diminta [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

IMPIKAN wang tebusan S$50 juta (RM154 juta) bagi melunaskan hutang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri.

Itu motif tujuh lelaki termasuk seorang warga Bangladesh yang disyaki menculik lelaki berusia 55 tahun sebelum mayatnya ditemui di Batu 27 Jalan Rawang, Bestari Jaya, Rawang, hari ini.

Perbuatan suspek berusia antara 30-an hingga 50-an itu terbongkar hasil siasatan dan penahanan mereka menerusi beberapa siri serbuan di sekitar Selangor sejak semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, hasil siasatan ke atas suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan belukar di Batu 27 Jalan Rawang, Bestari Jaya pada 9 pagi, hari ini.

"Mangsa yang juga pemaju hartanah diculik ketika sedang berjoging di taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 10.30 pagi, 10 Jun lalu.

"Keluarga menyedari kehilangan mangsa pada tengah hari pada hari sama selepas menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang meminta wang tebusan sebanyak S$50 juta.

"Berikutan itu, keluarga mangsa melaporkan kejadian kepada polis," katanya kepada pemberita selepas mengetuai siasatan di rumah dipercayai digunakan suspek untuk menyembunyikan mangsa di Taman Kosaso di Hulu Selangor, hari ini.

Fadzil berkata, bertindak atas laporan itu polis menjalankan risikan dan siasatan sebelum berjaya menahan suspek termasuk dalang utama yang dikenali mangsa dalam serbuan berasingan di sekitar Selangor bermula 11 pagi semalam.

Katanya, soal siasat ke atas suspek mendakwa mangsa meninggal dunia selepas tiga atau empat hari diculik sebelum mayatnya dicampak ke dalam belukar.

"Polis ke lokasi kejadian dan menemui mayat mangsa dalam keadaan sudah mereput," katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat.

Katanya, lima daripada suspek direman antara lima hingga tujuh hari bermula hari ini dan dua lagi suspek masih dalam proses permohonan reman.

Katanya, polis menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan Seksyen 3 Akta Culik 1961.

Berita berkaitan

Pembunuhan Datuk Seri bermotifkan wang

EL dah kena tahan, polis kini cari Thamby

Kes culik, bunuh Datuk Seri: Polis buru EL

Datuk jadi dalang

Datuk Seri diculik ditemui mati

Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 3:21pm
d