utama

Datuk jadi dalang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

DALANG utama penjenayah yang menculik dan membunuh seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dikenal pasti sebagai rakan baik mangsa bergelar Datuk.

Sumber berkata, suspek utama dan mangsa saling mengenali sebelum ini dan menjalin urusan perniagaan.

"Berdasarkan maklumat awal, mangsa ada berhutang dengan Datuk itu membabitkan jumlah wang yang besar sebelum ini.

"Bagaimanapun wujud masalah (pinjaman) menyebabkan suspek utama merancang dan mengupah beberapa individu untuk menculik mangsa berusia 55 tahun itu pada 10 Jun lalu dipercayai bagi mendapatkan wangnya kembali," katanya.

Dalam kejadian 9 pagi semalam, mayat ahli perniagaan itu ditemui dibuang di lereng bukit di hutan Batu 27, Jalan Rawang, Bestari Jaya, Rawang di sini.

Mangsa sebelum itu diculik tujuh individu termasuk seorang lelaki warga Bangladesh sebelum dikurung di sebuah rumah di Taman Kosaso, Rawang.

Difahamkan, suspek menuntut wang tebusan bernilai dolar Singapura (S$) 50 juta (RM154 juta) daripada ahli keluarga mangsa.

Perbuatan suspek berusia 30-an hingga 50-an terbongkar hasil soal siasat dijalankan selepas mereka ditahan menerusi beberapa serbuan di sekitar Selangor sejak kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, hasil siasatan ke atas suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan belukar di lokasi berkenaan.

"Mangsa yang juga pemaju hartanah diculik ketika berjoging di sebuah taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, jam 10.30 pagi, 10 Jun lalu.

"Keluarga menyedari kehilangan mangsa pada tengah hari pada hari sama selepas menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang meminta wang tebusan S$50 juta.

"Berikutan itu keluarga mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis," katanya selepas mengetuai siasatan di sebuah rumah dipercayai digunakan suspek untuk menyembunyikan mangsa di Taman Kosaso, semalam.

Fadzil berkata, hasil risikan dan siasatan, pihaknya menahan suspek termasuk dalang utama yang dikenali mangsa pada serbuan berasingan di sekitar Selangor bermula jam 11 pagi kelmarin.

Katanya, soal siasat ke atas suspek mendapati mangsa mati selepas tiga atau empat hari diculik sebelum mayatnya dicampak ke belukar.

"Kami ke lokasi kejadian dan mayat mangsa ditemui dalam keadaan sudah mereput," katanya.

Difahamkan, polis turut menemui makanan dan pakaian mangsa di dalam beg plastik di lokasi mayat mangsa dicampakkan.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat.

Katanya, lima daripada suspek direman lima hingga tujuh hari bermula semalam dan dua lagi suspek masih dalam proses permohonan reman.

Polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365, Kanun Keseksaan iaitu menculik dan Seksyen 3, Akta Culik 1961.

Difahamkan, mangsa sebelum ini amat dikenali dalam kalangan ahli perniagaan dan pernah mengadakan sambutan hari lahir besar-besaran di sebuah hotel mewah.

Malah, seorang daripada anaknya berusia 20-an pernah menghadiahkan mangsa sebuah kereta mewah, Rolls-Royce.

Berita berkaitan

Pembunuhan Datuk Seri bermotifkan wang

EL dah kena tahan, polis kini cari Thamby

Kes culik, bunuh Datuk Seri: Polis buru EL

Tebusan RM154 juta diminta [METROTV]

Datuk Seri diculik ditemui mati

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 10:58am
d