utama

Diskaun tiket penerbangan buat pelajar, guru, pensyarah [METROTV]

Oleh Rafidah Mat Ruzki

PELAJAR, guru dan pensyarah bakal menerima diskaun 20 peratus bagi tiket penerbangan domestik Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) untuk perjalanan pulang susulan sesi pembelajaran yang akan bermula tidak lama lagi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, diskaun berkenaan diberikan untuk perjalanan antara 10 Julai hingga 30 November 2020 yang membolehkan mereka kembali ke sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing.

Katanya, sebelum ini Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memanggil Suruhanjaya Penerbangan Malaysia untuk membentangkan isu mengenai harga tiket penerbangan yang dianggap masih tinggi.

"Mesyuarat mencadangkan dapat diberikan harga istimewa kepada pelajar, guru dan pensyarah kerana mereka terpaksa pulang semula ke tempat kerja dan sekolah atau IPT masing-masing.

"Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kerana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines bersama dua pegawainya datang berjumpa saya untuk mengadakan perbincangan dan makluman mengenai perkara itu.

"Hasil daripada perjumpaan itu saya dimaklumkan bahawa Malaysia Airlines bersetuju memberi tawaran promosi iaitu yang pertama diskaun 20 peratus kepada guru dan pensyarah IPT awam serta swasta bagi perjalanan domestik," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan PKP di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, tempahan boleh dibuat antara 9 Julai hingga 10 Ogos dan diskaun diperoleh menerusi pembelian secara dalam talian dengan memasukkan kod promo yang akan diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kelak.

Katanya, bagi pelajar pula, diskaun 20 peratus diberikan melalui program MH Explorer yang boleh diperoleh mereka dengan menjadi ahli melalui laman sesawang Malaysia Airlines.

"Diskaun pelajar ini akan terus dinikmati sehingga 30 November 2020 atau tamat tempoh keahlian mengikut syarat MH Explorer. Saya ingin ucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan Malaysia Airlines Berhad atas persetujuan untuk memberikan diskaun kepada pensyarah, guru dan pelajar.

"Saya harap syarikat penerbangan lain boleh turut serta menurunkan harga tiket penerbangan ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 3:06pm
    d