utama

'Elok mula bulan 9'

Oleh Firdaus Hashim dan Asrol Awang

RATA-RATA pasukan berpendapat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) wajar mengekalkan keputusan asal untuk menyambung semula perlawanan Liga Malaysia (Liga M) pada September berbanding Ogos.

Ini bagi memastikan semua pasukan dapat membuat persiapan rapi terutama dari segi kecergasan dan persefahaman pemain sekali gus menjaga kualiti Liga M.

Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, September adalah tarikh paling sesuai pembukaan semula saingan Liga M yang tertangguh sejak Mac lalu.

Justeru, beliau berkata, MFL perlu membuat ketetapan berhubung pembukaan Liga M berikutan penularan wabak Covid-19.

Dengan ketetapan yang akan diumumkan MFL, semua pasukan boleh merancang untuk persediaan awal sebelum liga bersambung seperti latihan kecergasan dan aksi persahabatan.

"Ia perlu jika mahu melihat persembahan kompetitif dan berkualiti selepas rehat panjang akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kesan daripada penularan Covid-19. Pada masa sama, semua pasukan memerlukan masa membentuk kembali pasukan untuk menghadapi saingan liga yang lebih mantap dan berkualiti," katanya.

Semua pasukan dibenarkan menjalani latihan secara sentuhan bermula hari ini tetapi masih perlu mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

Berdasarkan perancangan MFL sebelum ini, badan pentadbir Liga M itu akan meneruskan pertandingan Liga Super, Liga Perdana pada 1-2 September dan akan berakhir pada 26-27 September dengan saingan secara separuh liga sahaja.

Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober hingga 7 November sementara Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

Sementara itu, ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic tidak melihat sebarang masalah sekiranya saingan Liga M kembali bersambung pada September meskipun pihak kerajaan memberi lampu hijau seawal 15 Ogos.

Jelasnya, perkara yang paling dititikberatkan adalah tahap kecergasan setiap pemain yang perlu berada di tahap terbaik sebelum memulakan perlawanan sebenar bagi mengelak terdedah kepada risiko kecederaan.

"Sekarang ini kita mempunyai masa untuk mengumpulkan semua pemain yang ada dalam satu masa, dan sama ada kita bermula lebih awal atau bulan September sekalipun, tiada satu pasukan pun yang akan rasa apa-apa kelebihan kerana kita semua dalam situasi sama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 6:30am
    d