utama

'Jika membahayakan nyawa hukumnya haram'

Oleh Suraya Roslan

"MELAKUKAN sesuatu yang memudaratkan diri hukumnya adalah haram walaupun perkara dilakukan itu wajib, cuba ikhtiar supaya dapat solat pada waktu tepat dalam keadaan selamat."

Demikian komen Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman berhubung tindakan pengguna lebuh raya yang menunaikan solat Subuh di lorong kecemasan di Kilometer 32, Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) akibat kesesakan lalu lintas ketika pulang ke kampung bagi sambutan Aidiladha.

Abdul Rahman berkata, solat adalah perkara wajib dilakukan umat Islam bagaimanapun Islam meletakkan pemeliharaan nyawa sebagai pokok utama.

"Matlamat memelihara agama (hifz al-din) tidak akan tercapai kecuali dengan memelihara nyawa (hifz al-nafs).

"Begitu juga dalam situasi ini, jika membahayakan nyawa hukumnya adalah haram tetapi solat wajib dilakukan terutama waktu Subuh yang tidak boleh dilakukan secara jamak," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, jika keadaan terdesak hingga menyebabkan pengguna jalan raya perlu menunaikan solat di tepi jalan, mereka perlu memastikan diri dan orang ramai selamat.

"Mungkin pengguna berkenaan boleh memasang lampu atau meletakkan benda supaya dapat memberitahu pengguna jalan raya lain.

"Bagaimanapun, jika keadaan terdesak, boleh melakukan solat secara menghormati waktu tetapi wajib qada sebaik tiba di destinasi masing-masing," katanya.

Katanya, itulah pentingnya merancang perjalanan dan lebih elok mencari tempat yang bersesuaian untuk menunaikan solat.

Hari ini, syarikat konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad (ANIH) menggesa orang ramai tidak menunaikan ibadah solat di lorong kecemasan lebuh raya atas faktor keselamatan.

ANIH dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya bimbang jika dibiarkan keadaan itu berterusan menyebabkan penunggang motosikal dan kenderaan lain tidak menyedari kehadiran individu sedang menunaikan solatdi lorong kecemasan.

Sebelum ini tular dua wanita bertelekung dilihat menunaikan solat di tepi lebuh raya dipercayai berhampiran Plaza Tol Gombak menuju ke Genting Sempah hingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Berita berkaitan:

  • Bimbang keselamatan pengguna solat di lorong kecemasan
  • Disiarkan pada: August 2, 2020 @ 2:56pm
    d