utama

PKPDB di kawasan Penjara Alor Setar

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di kawasan Penjara Alor Setar, Kedah berkuat kuasa 12.01 tengah malam 6 Oktober, selama 14 hari.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mengambil kira peningkatan jumlah kes positif Covid-19 di kawasan itu pelaksanaan PKPDB bagi membendung jangkitan dan penularan wabak.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan Penjara Alor Setar.

"Mengambil kira peningkatan jumlah kes yang berlaku, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan memutuskan untuk melaksanakan PKPDB secara pentadbiran di kawasan penjara termasuk kuarters kakitangan selama 14 hari berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam ini, 6 Oktober 2020," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga, sebarang pergerakan keluar dan masuk membabitkan kawasan itu termasuk lawatan keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.

"Pelaksanaan PKPDB ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam kawasan berkenaan serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan," katanya.

Sehingga semalam, Kedah mencatatkan 414 kes membabitkan Kluster Tembok, 10 kes membabitkan Kluster Bah Ketil, empat kes Kluster Bah Lunas dan Kluster Bah Rose lapan kes.

Seramai 36 tahanan Penjara Alor Setar yang positif Covid-19 terpaksa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mendapatkan rawatan rapi selepas keadaan mereka dikatakan agak serius.

Penjara berkenaan mempunyai kira-kira 1,800 penghuni namun tidak semua menjalani ujian saringan Covid-19.

Hanya banduan yang ada kontak rapat disaring, tetapi jumlah mereka yang disaring memang meningkat setiap hari.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 3:17pm
    d