utama

Ismail Sabri buat ujian Covid-19, kuarantin kendiri

Oleh Ahmad Suhael Adnan

Kuala Lumpur: Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dibatalkan bagi membolehkan beliau membuat ujian Covid-19 dan menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Keputusan membatalkan sidang media pada 2 petang itu dibuat selepas Ismail Sabri dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif Covid-19.

Pembatalan sidang media itu juga dibuat kerana Ismail Sabri enggan memberi risiko kepada petugas media, memandangkan beliau kontak rapat Zulkifli.

"Ramai orang persoalkan kenapa tiba-tiba saya membatalkan sidang media saya hari ini.

"Sebenarnya pagi tadi saya mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri untuk membincangkan tindakan seterusnya untuk mengawal penularan Covid-19 seperti memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) zon Kota Kinabalu, termasuk Penampang dan Putatan.

"Selepas habis mesyuarat, saya dimaklumkan bahawa Menteri Hal Ehwal Agama positif COVID-19. Saya berada di dalam mesyuarat itu (bersama Zulkifli).

"Oleh itu, saya membuat keputusan segera untuk membuat swab test (ujian calitan) dan balik ke rumah untuk self-quarantine. Saya tidak mahu sidang media itu boleh membahayakan (petugas) media," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Mengulas mengenai ujian saringan Covid-19 yang dilakukannya hari ini, Ismail Sabri memaklumkan keputusannya dijangka diketahui esok.

"Insya-Allah esok keputusan swab test saya itu akan keluar. Doakan agar keputusan swab test nanti negatif," katanya.

Terdahulu, Zulkifli menerusi Facebook mengesahkan beliau positif Covid-19 dan menjalani rawatan di hospital di Seremban dan keadaan kesihatannya masih baik.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu turut meminta individu yang menghadiri majlis yang dihadirinya antara 24 September hingga 4 Oktober untuk menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di klinik kesihatan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memaklumkan menjalani kuarantin kendiri dan menjalankan tugas dari rumah kerana turut menjadi kontak rapat Zulkifli.

Zulkifli hadir pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 3 Oktober lalu yang dipengerusikan Muhyiddin dan dihadiri beberapa anggota Kabinet dan pemimpin agensi kerajaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 11:33pm
    d