utama

'Rezeki mereka dapat melihat saya' [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Setiap hari, kami berhubung menerusi Whatsapp dan panggilan video untuk bertanya khabar, cuma hari itu saya mahu melihat anak dan isteri di depan mata sebab terlalu rindu .

"Sebab itu saya ke situ... Alhamdulillah mereka dapat melihat saya menerusi teropong walaupun cuma seketika dan terubat juga kerinduan kami selepas sekian lama terpisah," luah suami dan bapa kepada dua anak, Mohd Izwan Sarip.

Mohd Izwan, 32, memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi perasaannya selepas membuat panggilan video dari Woodlands Waterfront Park, Singapura, Selasa lalu.

Menerusi video yang tular di Facebook (Fb) itu, Mohd Izwan dilihat berjalan menuju ke jeti dan sambil memegang telefon bimbit, dia bertanya; "mana awak?" sebelum dibalas isterinya; "saya kat sini, pakai baju hitam putih. Nampak tak?"

Lelaki itu kemudiannya melambaikan tangan kepada isterinya dari kejauhan dan menerusi video berkenaan, turut kedengaran suara ceria dua anak perempuannya yang berkata; "hai papa."

Video itu mengundang sebak warganet dengan rata-ratanya mendoakan Mohd Izwan dapat bertemu semula dengan isteri dan dua anaknya selepas sempadan Singapura dan Malaysia dibuka semula kelak.

Bercerita lanjut, Mohd Izwan yang bekerja sebagai pembantu gudang di Jurong, Singapura berkata, sudah hampir lapan bulan dia terpisah dengan isteri, Liana Idris, 33, dan dua anak perempuannya, Nor Daniesha Syazwani, 4, dan Nor Daliesha Syazwani, 18 bulan, berikutan penutupan sempadan Malaysia-Singapura serta larangan rentas negara berkuat kuasa 18 Mac lalu.

Katanya, sejak itu, mereka hanya dapat berhubung menerusi Whatsapp dan panggilan video selain mengikuti perkembangan satu sama lain di laman sosial.

"Kami tidak pernah berpisah dalam tempoh lama kerana selama ini, setiap hari saya akan berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura.

"Namun, nasib tidak menyebelahi saya apabila tersangkut di sana diminta penyelia untuk memasuki Singapura pada 17 Mac iaitu sehari sebelum penutupan sempadan yang berkuat kuasa tengah malam.

"Ikutkan, saya merancang membawa isteri dan anak berjalan pada 17 Mac kerana ia adalah hari cuti saya tetapi tidak kesampaian.

"Ingatkan dua minggu saja di sini, rupa-rupanya berlarutan sehingga kini," katanya ketika dihubungi Harian Metro menerusi aplikasi Messenger di Fb.

Menurut Mohd Izwan, adik perempuannya, Shafika Sarip, 22, yang mencadangkannya pergi ke jeti itu kerana pernah berhubung dengan suaminya yang bekerja di Singapura dengan kaedah sama.

"Saya tiada teropong tetapi beritahu adik perempuan supaya ingatkan isteri untuk membawanya. Rezeki mereka dapat melihat saya.

"Mengenai video yang tular itu pula, saya tidak sedar adik ipar yang menemani saya ada merakamnya kerana sedang asyik melihat isteri dan anak menerusi telefon bimbit," katanya.

Sementara itu, isterinya, Liana ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia dan dua anak perempuannya pergi ke sebuah kawasan di tepi perairan di bandar Johor Bahru membawa dua anaknya dengan ditemani adik iparnya.

Demi melihat suami dari kejauhan ,Liana sanggup membawa teropong bersama dan bersyukur kerana kaedah digunakannya berkesan.

"Sangat teruja dan rasa sebak hingga menangis kerana selama ini kami hanya berhubung dengan satu sama lain menerusi telefon.

"Akhirnya, dapat juga saya dan anak melihatnya menerusi teropong.

"Selama hampir 30 minit itu, kami berbual kosong tetapi sempat berpesan kepada sama lain untuk menjaga kesihatan.

"Anak sulung saya paling seronok kerana dia yang paling manja dengan suami," katanya.

Menurut Liana yang menetap dengan anak dan ibunya, Jamaliah Othman, 64, di Taman Tan Sri Yaacob, Skudai Johor Bahru berkata, jika ada kelapangan, dia merancang membawa lagi anaknya ke lokasi sama untuk melihat suaminya.

"Jika ada masa yang sesuai, saya akan bawa anak ke situ lagi.

"Namun, kalau boleh, saya mahu dia pulang ke sini dan berharap sempadan kedua-dua negara dibuka tidak lama lagi.

"Apa pun, terima kasih kepada semua yang mendoakan. Saya tidak sangka video itu tular kerana sekadar mahu berkongsi detik manis itu saja," katanya.

Berita berkaitan

Lambaian rindu dari seberang tambak

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 8:53pm
    d