utama

Tidak seperti dulu lagi

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kebiasaannya dia menyambut hari lahir dengan keluar makan dan menghabiskan masa bersama keluarga, namun tahun ini berbeza.

Ini kerana dia terpaksa menjalani kuarantin di rumah selepas kawasan tempat tinggalnya di Kampung Tagasan, Semporna diisytihar zon merah akibat penularan Covid-19.

Bagi penjawat awam, Mohd Fadzil Jundam, 38, menyambut hari lahir dalam kuarantin tentunya memberikan suasana berbeza, apatah lagi ketika bapa mentuanya disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

"Sebelum ini dia sudah menjalani kuarantin 14 hari, tetapi kemudiannya mengadu tidak berapa sihat dan menjalani saringan serta disahkan positif.

"Buat masa ini dia dikuarantin di Projek Perumahan Rakyat Bubul Ria, Semporna manakala kami di rumah," katanya kepada Harian Metro.

Mohd Fadzil berkata, dia turut membuang undi pada Pilihan Raya Negeri Sabah 26 September lalu, menjadikan dia dan ahli keluarga lain berisiko terkena jangkitan.

Menurutnya, selepas arahan saringan dan kuarantin dikeluarkan kerajaan Sabah, dia membuat ujian semalam dan masih menunggu keputusan.

"Kebetulan hari ini hari lahir saya, masih menyambutnya bersama keluarga, tapi hanya duduk di rumah.

"Sambil itu saya juga mengikuti perkembangan semasa penularan jangkitan ini.

"Mujur isteri disahkan negatif, cuma saya dan anak-anak masih menanti keputusan," katanya.

Beliau berkata, biarpun tiada sambutan hari jadi kali ini, dia bersyukur kerana masih sihat walaupun terdapat penularan terutama di sekitar Semporna.

"Ia akan jadi hari lahir yang diingati, terima kasih kepada kawan-kawan yang mendoakan," katanya

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 10:40pm
    d